Perintah mahkamah berkait tahanan rumah Najib jelaskan persoalan undang-undang

 


Perintah mahkamah berkait tahanan rumah Najib jelaskan persoalan undang-undang

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian hormati pendirian AGC bahawa persoalan itu perlu diperjelaskan melalui proses kehakiman.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau menyambut baik perintah itu dan berkata kementeriannya bersedia melaksanakan keputusan mahkamah berkenaan.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya bawah tahanan rumah telah menjelaskan persoalan undang-undang yang dibangkitkan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini.

Beliau menyambut baik perintah itu dan berkata kementeriannya bersedia melaksanakan keputusan mahkamah berkenaan.

“Kelewatan pelaksanaan sebelum ini berlaku berikutan terdapat persoalan undang-undang berkaitan tafsiran perintah pengampunan bersyarat dan kesan perundangan perintah pelepasan bertarikh 6 Nov 2026.

“Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini telah menjelaskan persoalan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kementerian menghormati pendirian AGC bahawa persoalan tersebut perlu diperjelaskan melalui proses kehakiman.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap tindakan kerajaan mempunyai asas perundangan yang jelas, teratur dan sah,” katanya.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah terdahulu yang melepaskan Najib selepas pembayaran denda dan mengeluarkan perintah baharu yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Hakim Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan AGC untuk mendapatkan penjelasan berhubung perintah pelepasan bertarikh 6 Nov yang mengandungi ‘kesilapan’ dan dikeluarkan selepas pembayaran denda RM50 juta.

Ini bermakna Najib akan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah mulai hari ini hingga 23 Ogos 2028.

Saifuddin berkata kementeriannya sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi keputusan pengampunan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, sambil menambah bahawa setiap keputusan yang dibuat melalui saluran perlembagaan hendaklah dihormati dan dilaksanakan menurut undang-undang.

Beliau juga menegaskan bahawa tanggungjawab kementerian dan Jabatan Penjara adalah memastikan setiap keputusan berkaitan pelaksanaan hukuman dan tahanan dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta arahan mahkamah yang sah.

“Kes ini merupakan kes berprofil tinggi yang mempunyai implikasi politik dan persepsi awam yang besar.

“Justeru, semua pihak perlu mengendalikan perkara ini dengan matang dan bertanggungjawab, tanpa membiarkan polemik politik menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara,” katanya.



No comments: