Ketika Pas hanya mampu mempertaruhkan dua calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, keputusan kerajaan parti itu di Terengganu untuk memberikan kerusi ADUN lantikan kepada Gerakan pula mengundang persoalan mengenai keutamaan politiknya.
Keadaan ini menarik perhatian kerana Pas sebelum ini dilaporkan berhasrat bertanding sehingga 16 kerusi DUN Melaka.
Namun, selepas rundingan pembahagian kerusi bersama BN dan komponen PN, Pas akhirnya tunduk dengan hanya bertanding di DUN Paya Rumput dan Bukit Katil.

Namun, mengejutkan apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 8 November lalu mengumumkan kerajaan negeri akan melantik seorang wakil masyarakat Cina daripada Gerakan sebagai ADUN lantikan.
Terlihat Pas sudah terdesak memancing undi Cina di Melaka apabila pengumuman Samsuri yang juga Pengerusi PN itu dibuat ketika mengunjungi bilik gerakan PN di DUN Ayer Keroh, Melaka pada 8 November lalu.
Ghairah
Bagaimanapun, langkah itu mendapat kritikan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang mempersoalkan mengapa Gerakan diberikan keutamaan.
Menerusi hantaran di Facebook, Ridhuan mengingatkan Pas dan PN supaya tidak terlalu ghairah mendapatkan sokongan pengundi Cina sehingga membuat tawaran politik yang dianggapnya tidak munasabah.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana Gerakan mempunyai pengaruh di Terengganu dan sama ada masyarakat Cina di negeri itu benar-benar menerima parti tersebut sebagai wakil mereka.
Ridhuan menegaskan bahawa beliau tidak menolak perwakilan masyarakat bukan Islam, sebaliknya mahu kerajaan negeri memilih individu yang benar-benar layak tanpa mengutamakan keahlian politik.
“Buat kajian dahulu. Adakah syarat ADUN lantikan mesti dalam kalangan ahli politik? Tidak bukan? Kenapa umum cepat sangat? Cina Terengganu pun tidak pernah bising selama ini? Nak tunjukkan apa sebenarnya?” soal Ridhuan.
Menurut penulis buku ‘Nasib Melayu di Bumi Melayu’ (2010) berkenaan, ramai profesional, ahli akademik dan individu Cina Muslim yang boleh dipertimbangkan untuk memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan negeri dengan masyarakat Cina.
Bekas Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) itu juga mempersoalkan mengapa Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang telah lama bersama parti itu tidak diberikan keutamaan berbanding Gerakan.
Lebih tajam, Ridhuan mengingatkan Samsuri bahawa pengumuman pelantikan itu ketika kempen PRN Melaka belum tentu mampu menarik sokongan pengundi Cina kepada PN.

No comments:
Post a Comment