SIAPA YANG ISI BORANG NAJIB ??? Kita bukan bercakap tentang surat biasa yang tersalah taip. Kita bukan bercakap tentang borang permohonan yang tersilap mengisi ruangan.



 Bagaimana pula dengan proses semakan dokumen tersebut?


Siapa yang menyediakan kandungannya?

Siapa yang menyemaknya?




Dalam sebuah negara yang meletakkan institusi kehakiman sebagai antara tonggak utama keadilan, integriti dan kepercayaan rakyat, ada satu persoalan besar yang wajar dibangkitkan berhubung kontroversi perintah mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Bagaimana sebuah dokumen rasmi mahkamah yang begitu penting, melibatkan pelaksanaan titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong, boleh mengundang begitu banyak persoalan dari sudut kandungan, ketepatan dan implikasi perundangannya?

Kita bukan bercakap tentang surat biasa yang tersalah taip. Kita bukan bercakap tentang borang permohonan yang tersilap mengisi ruangan.

Ini ialah dokumen perintah mahkamah yang berkait secara langsung dengan pelaksanaan titah diraja, status hukuman seorang banduan dan arahan kepada pihak penjara.

Lebih menarik, dokumen bertajuk Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 itu sendiri mengandungi beberapa perkara yang menimbulkan tanda tanya.

Persoalannya, bagaimana dokumen sepenting ini boleh dikeluarkan tanpa semua perkara tersebut diperjelaskan terlebih dahulu?

Bukankah dokumen mahkamah perlu melalui proses penyediaan, semakan dan pengesahan sebelum dikeluarkan secara rasmi?

Bukankah sepatutnya terdapat beberapa lapisan penelitian bagi memastikan setiap perkataan, rujukan undang-undang dan arahan yang terkandung di dalamnya tepat?

Apatah lagi apabila perkara ini melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong.

ADAKAH INI STANDARD KETELITIAN YANG SEPATUTNYA KITA HARAPKAN DARIPADA INSTITUSI KEHAKIMAN?

AGC SENDIRI MENGAKUI WUJUD PERSOALAN PERUNDANGAN YANG BESAR

Lebih menarik, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 6 November mengumumkan bahawa pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib perlu ditangguhkan buat sementara waktu.

Dalam kenyataannya, AGC menjelaskan bahawa penangguhan itu dibuat sementara menunggu penelitian dan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September 2026 serta kesan Order of Discharge yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 6 November.

Atas alasan inilah AGC berpandangan bahawa penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya dibuat.

AGC menegaskan penangguhan itu bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bagi memastikan titah dan perintah mahkamah dilaksanakan dengan tepat serta selaras dengan kedudukan undang-undang sebenar.

JADI, DI MANA SEBENARNYA MASALAH INI BERMULA?

Di sinilah persoalan yang lebih besar perlu ditujukan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Jika AGC sendiri memerlukan penjelasan lanjut tentang kesan sesuatu perintah mahkamah, bukankah perkara ini sepatutnya telah diperhalusi sebelum dokumen tersebut dikeluarkan?

Jika terdapat dua kemungkinan tafsiran yang membawa kesan begitu besar terhadap status hukuman seseorang, mengapa perkara itu tidak diselesaikan terlebih dahulu sebelum arahan pelepasan dikeluarkan?

Bagaimana pula dengan proses semakan dokumen tersebut?

Siapa yang menyediakan kandungannya?

Siapa yang menyemaknya?

Siapa yang mengesahkan bahawa segala arahan dan peruntukan di dalamnya benar-benar selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat?

Kita faham bahawa undang-undang mempunyai tafsiran dan kerumitannya tersendiri. Kita juga tidak menafikan bahawa pegawai mahkamah dan pihak perundangan ialah manusia yang boleh melakukan kesilapan.

Tetapi tidak semua kesilapan boleh diletakkan dalam kategori yang sama.

Kesilapan pada dokumen yang melibatkan urusan pentadbiran biasa mungkin boleh diperbetulkan tanpa implikasi besar.

Namun, apabila dokumen tersebut menentukan bagaimana titah pengampunan diraja hendak dilaksanakan, bagaimana baki hukuman seorang banduan dikira dan bagaimana hukuman dalam kes lain perlu dimulakan, standard ketelitian yang diperlukan sepatutnya jauh lebih tinggi.

Ini bukan perkara kecil.

Lebih sensitif, perkara ini melibatkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 7 November, Istana Negara turut mengeluarkan kenyataan bahawa titah pengampunan bersyarat tersebut adalah jelas, nyata dan tidak meragukan.

Baginda turut menegaskan bahawa semua syarat yang ditetapkan telah dipenuhi dan pelaksanaan titah tersebut hendaklah dihormati selaras dengan prinsip Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Perkembangan ini menjadikan persoalan yang timbul semakin serius.

Satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan ialah kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman.

Institusi kehakiman merupakan tempat terakhir rakyat mengharapkan keadilan apabila berhadapan dengan pertikaian, ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa.

Sebab itulah ketelitian, integriti dan profesionalisme institusi ini tidak boleh dikompromi.

Kalau dalam kes berprofil tinggi yang melibatkan seorang bekas Perdana Menteri dan titah Yang di-Pertuan Agong pun timbul pelbagai persoalan tentang ketepatan dokumen serta implikasi perundangannya, sudah tentu rakyat berhak bertanya tentang standard pengurusan dokumen dan proses semakan yang diamalkan.

Jangan sampai rakyat melihat seolah-olah perkara yang sepatutnya boleh diperhalusi sejak awal hanya disedari selepas dokumen dikeluarkan dan kontroversi tercetus.

Kita tidak perlu menjadi penyokong Najib untuk mempersoalkan perkara ini. Kita juga tidak perlu menjadi penyokong mana-mana parti politik untuk menuntut akauntabiliti.

Hari ini ia melibatkan seorang bekas Perdana Menteri.

Esok lusa, ia mungkin melibatkan nasib seorang rakyat biasa yang tidak mempunyai kemampuan untuk mempertahankan haknya. 











No comments: