Dari Pejuang Hudud Hukum Penyakau, Kepada Pejuang Bebaskan Penyamun

 


IMG_0767

Hari ini apabila melibatkan tokoh politik berpengaruh, tiba-tiba cerita pengampunan, kutipan derma dan pahala pula yang kedengaran.

PENDAPAT, 9 Nov – Dulu, masa muda-muda, kalau dengar ceramah Tuan Guru Haji Hadi tentang hukum hudud, terasa betapa indahnya Islam. Betapa tegasnya Islam dalam menegakkan keadilan. Penyamun tetap penyamun, pencuri tetap pencuri. Tak kira siapa, berpangkat besar atau kecil, semuanya tertakluk kepada hukum.

Bukan main lagi diceritakan bagaimana Rasulullah SAW menegaskan, kalau Fatimah puteri Baginda sendiri mencuri, tetap akan dipotong tangannya. Begitulah Islam yang diperjuangkan. Keadilan tak mengenal darjat, pangkat atau kedudukan.

Tapi hari ini, bila melihat perkembangan politik tanah air, terasa janggal pula.

Dulu berjuang mahu menegakkan hudud untuk menghukum penyamun. Sekarang pemimpin-pemimpin yang membawa perjuangan sama dilihat mempertahankan usaha mendapatkan pembebasan atau pengurangan hukuman untuk Najib, seorang bekas Perdana Menteri yang telah disabitkan dalam kes penyelewengan wang negara.

Ironinya, yang berubah bukan hukum agama. Yang berubah ialah pendirian politik terhadap orang yang sedang dihukum.

Dulu kalau bercakap tentang mencuri, tak kira anak siapa, pangkat apa, semuanya mesti dihukum. Hari ini apabila melibatkan tokoh politik berpengaruh, tiba-tiba cerita pengampunan, kutipan derma dan pahala pula yang kedengaran.

Lebih menyedihkan, kerosakan akibat skandal kewangan sebesar 1MDB bukan sekadar menimpa seorang dua individu. Negara dan rakyat terpaksa menanggung kesannya untuk tempoh yang panjang.

Tak salah membincangkan pengampunan kerana ia memang wujud dalam sistem perundangan dan mempunyai tempat dalam Islam. Tetapi persoalannya, di mana ketegasan prinsip keadilan yang begitu lantang dilaungkan dahulu?

Dulu, apabila dengar ceramah Haji Hadi, terasa indahnya Islam yang membela keadilan tanpa memilih bulu.

Hari ini, apabila melihat sikap politik terhadap Najib, terasa janggal.

Adakah prinsip yang berubah, atau orang yang hendak dihukum itu kini sudah menjadi kawan?

Oleh Ahmad Mursi





No comments: