Bekas Peguam Kanan Persekutuan, Liyana Marzuki, mempersoalkan klausa dalam dokumen pelepasan Datuk Seri Najib Razak yang seolah-olah membenarkan bekas Perdana Menteri itu terus berada di rumah walaupun melanggar syarat tahanan rumah.
Liyana merujuk kepada dokumen Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan selepas Najib menjelaskan denda RM50 juta dalam kes SRC International.
Menerusi hantaran media sosial, Liyana menunjukkan bahagian dokumen yang menyatakan perintah berkenaan akan terbatal sekiranya Najib gagal mematuhi syarat tahanan rumah.
Namun, dokumen sama turut menyebut pilihan untuk menjalani baki hukuman di kediaman Langgak Duta selepas arahan supaya Najib kembali ke Penjara Kajang atau lokasi yang ditetapkan pihak penjara.
Percanggahan itu menimbulkan persoalan bagaimana seseorang yang melanggar syarat tahanan rumah masih mempunyai pilihan untuk terus menjalani hukuman di kediamannya.
"Apa ke bendanya ni?" soal Liyana yang hairan dengan kewujudan klausa tersebut dalam dokumen mahkamah berkenaan.
Menurut pemahaman Liyana, titah pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong menetapkan Najib perlu kembali ke penjara sekiranya gagal mematuhi syarat tahanan rumah.
Beliau turut mengkritik penyediaan dokumen tersebut yang mempunyai pelbagai kelemahan termasuk susunan ayat, silang rujukan seksyen undang-undang dan penulisan nama.
Liyana menyifatkan kelemahan sedemikian sebagai sesuatu yang serius memandangkan dokumen mahkamah itu melibatkan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara meneliti pihak yang bertanggungjawab menyediakan dokumen berkenaan serta menyiasat kemungkinan wujud cubaan memanipulasi titah diraja.
"Saya harap AG persembahkan dan dedahkan kepada Tuanku YDPA, siapa sebenarnya bersekongkol memanipulasi Titah tuanku untuk tekak sendiri.
"Ini kesalahan sangat blatant, mempermainkan Titah Tuanku dan cuba buldoze melalui Perintah di Mahkamah.
Pohon Umno dan Pas buat laporan polis lagi se-antero Malaya. Ini lagi glaring derhakanya," tegas Liyana lagi.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib pada 6 November bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran pengampunan bersyarat dan kesan perintah pelepasan tersebut.

No comments:
Post a Comment