Pas parti tiada maruah – Baba Zul bidas pendirian politik demi selamatkan Najib

 


Pas disifatkan sebagai parti yang hilang maruah apabila sanggup mengubah pendirian politik dan menggunakan hujah agama demi mempertahankan pemimpin yang sudah disabitkan kesalahan, termasuk membabitkan isu denda RM50 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Kritikan keras itu disuarakan Ustaz Zulkarnain Harun yang dikenali sebagai Baba Zul ketika mengulas perkembangan politik negara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, tindakan mempertahankan pemimpin yang berdepan sabitan kesalahan dan kontroversi kewangan bukan sahaja mencemarkan imej perjuangan politik, malah memperlihatkan bagaimana sikap taksub boleh mengatasi pertimbangan akal dan prinsip keadilan.

“Bagi saya, Pas parti yang paling tak ada maruah. Yang akhir-akhir zaman ini nak membenarkan perkara yang tidak sepatutnya.

“Adakah boleh dia berfatwa, boleh terima untuk bebaskan penyamun dengan membawa satu (alasan)? Boleh pakai ke?” katanya.

Memalukan

Baba Zul yang Pengerusi Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan turut mempersoalkan bagaimana isu pembayaran denda RM50 juta yang dikaitkan dengan Najib boleh dipertahankan oleh pihak tertentu, sedangkan bekas perdana menteri itu telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang memalukan dan mendakwa sukar menemui negara lain yang membenarkan pemimpin yang disabitkan kesalahan terus dipertahankan melalui hujah politik sedemikian.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi Melaka supaya tidak membiarkan sentimen kepartian dan ketaksuban menghalang mereka daripada menilai prestasi serta rekod pemerintahan sesebuah kerajaan.

Katanya, rakyat sepatutnya menggunakan pertimbangan rasional untuk menentukan kerajaan mana yang lebih baik dalam menjaga kepentingan rakyat dan negara, bukannya semata-mata memilih berdasarkan sentimen agama atau bangsa.

“Kalau orang menggunakan akal, menggunakan ilmu yang ada sedikit pada mereka, kalau tidak disaluti dan dibalut dengan sifat taksub yang tebal dalam fikiran, cukuplah.

“Kerajaan mana yang lebih baik, yang lebih penting, yang lebih baik daripada yang lepas-lepas,” katanya.

Baba Zul turut membangkitkan beberapa skandal besar yang menurutnya wajar dijadikan pengajaran kepada pengundi, termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, Felda serta UiTM Holdings.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya dilupakan kerana ia membabitkan persoalan amanah, pengurusan institusi dan kepentingan wang rakyat.

Kepentingan rakyat

Beliau turut mempersoalkan keupayaan Umno dan Pas untuk kembali membawa agenda perjuangan Melayu sekiranya kedua-dua parti itu sendiri gagal menunjukkan kesungguhan mempertahankan amanah serta kepentingan rakyat.

Malah, Baba Zul berkata, perjuangan Islam tidak sepatutnya disempitkan kepada kepentingan sesuatu bangsa atau parti politik kerana keadilan dan amanah merupakan prinsip yang turut dituntut dalam Islam.

“Perjuangan Islam ini bukan untuk bangsa. Keadilan yang dituntut, sangat dituntut dalam Islam,” katanya.

Bagi menguatkan hujahnya, beliau mengingatkan bahawa keadilan dan amanah merupakan prinsip asas yang sering ditekankan dalam ajaran Islam, termasuk melalui ayat al-Quran yang dibacakan dalam khutbah Jumaat.

Baba Zul turut membahagikan manusia yang melakukan kejahatan kepada tiga kategori, iaitu mereka yang mengakui kesalahan, mereka yang melakukan kesalahan tetapi enggan mengakuinya, dan golongan yang lebih buruk apabila melakukan kesalahan tetapi menuduh orang lain pula sebagai pelakunya.

Katanya, sikap sedemikian menjadi lebih berbahaya apabila politik ketaksuban menyebabkan penyokong gagal membezakan antara kebenaran dengan kepentingan pemimpin.

Sebaliknya, katanya, pilihan raya sepatutnya menjadi ruang untuk rakyat menilai rekod, amanah dan keupayaan parti-parti politik dalam mentadbir negara.




No comments: