Peguam negara tak derhaka kepada Agong, kata Rayer

 


 

Peguam negara tak derhaka kepada Agong, kata Rayer

Ahli Parlimen Jelutong itu berkata keputusan mahkamah membetulkan perintah tahanan rumah Najib Razak membuktikan peguam negara mengambil langkah perundangan betul.

RSN Rayer gesa Dusuki Mokhtar mengambil tindakan terhadap semua pihak yang membuat laporan polis palsu berkait isu tahanah rumah Najib Razak.
PETALING JAYA:
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membetulkan perintah tahanan rumah Najib Razak membuktikan Peguam Negara Dusuki Mokhtar mengambil langkah perundangan yang betul dan tidak menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.

Rayer berkata permohonan semakan difailkan peguam negara bertujuan mendapatkan penjelasan undang-undang berhubung kesilapan dalam perintah asal yang dikeluarkan selepas denda RM50 juta terhadap bekas perdana menteri dijelaskan.

“Perintah mahkamah yang disemak semula hari ini telah membetulkan kesilapan dalam perintah tahanan rumah terdahulu yang dikeluarkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan tindakan peguam negara itu tidak bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Sehubungan itu, Rayer menggesa peguam negara mengambil tindakan terhadap semua pihak yang membuat laporan polis palsu, termasuk Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan dari Umno yang didakwanya menuduh Dusuki menderhaka kepada Agong.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan perintah bertarikh 6 Nov yang mengarahkan pelepasan Najib selepas pembayaran denda RM50 juta dan mengeluarkan perintah baharu bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International menerusi tahanan rumah.

Perintah asal itu menjadi pertikaian kerana boleh ditafsirkan sebagai mengarahkan pembebasan Najib serta-merta, sedangkan pengampunan bersyarat diberikan Agong hanya membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berhujah bahawa perintah asal berkenaan bercanggah dengan pengampunan bersyarat yang diberikan Agong.

Bagaimanapun, peguam Najib, Shafee Abdullah, menjelaskan pihaknya memahami perintah pelepasan itu hanya merujuk kepada kewajipan membayar denda, bukannya pembebasan daripada hukuman penjara.



No comments: