Menarik perkembangan politik Negeri Sembilan pagi ini apabila enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti.
Saya cuba bandingkan senarai nama enam EXCO baharu ini dengan 10 EXCO yang dibatalkan pelantikan sebelum ini.
Rupanya tak ada seorang pun daripada 10 bekas EXCO tersebut dilantik semula.
Enam EXCO yang dilantik hari ini terdiri daripada:
1. Suhaimi Aini (Kota – UMNO)
2. Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang – UMNO)
3. Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling – UMNO)
4. Koh Kim Swee (Repah – MCA)
5. Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang – PAS)
6. Ridzuan Ahmad (Gemas – WAWASAN)
Bukan saja berlaku pertukaran keseluruhan individu, malah tak ada satu pun daripada 10 DUN yang diwakili barisan EXCO terdahulu diwakili dalam barisan EXCO baharu ini.
Jadi, ini bukan sekadar rombakan EXCO, sebaliknya pembentukan sebuah barisan EXCO yang benar-benar baharu.
Kalau kita lihat dari sudut komposisi politik, sebelum ini UMNO mempunyai tujuh EXCO, manakala MCA, PAS dan WAWASAN masing-masing mempunyai seorang EXCO.
Kini UMNO hanya mempunyai tiga EXCO, manakala tiga parti lain masih mengekalkan jumlah perwakilan masing-masing.
Bermakna pengurangan empat jawatan EXCO ini melibatkan sepenuhnya UMNO.
Dari sudut perwakilan parti, UMNO yang sebelum ini menguasai 70 peratus kerusi EXCO kini hanya menguasai 50 peratus, tidak termasuk kedudukan Menteri Besar.
BN pula berkurangan daripada lapan kepada empat EXCO, manakala PN kekal dengan dua EXCO.
Walaupun jumlah EXCO berkurangan, perwakilan setiap parti dalam gabungan kerajaan negeri masih dikekalkan.
Kalau kita imbas semula kronologi, kesemua 10 EXCO terdahulu mengangkat sumpah pada 7 Ogos 2026 sebelum pelantikan mereka dibatalkan berkuat kuasa 20 September 2026.
Maknanya, mereka hanya sempat memegang jawatan selama 44 hari.
Menurut kenyataan pihak istana, pembatalan pelantikan itu dibuat selepas kesemua mereka didapati memungkiri sumpah jawatan susulan tindakan berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz pada 15 September lalu.
Pada 5 Oktober, kesemua mereka membawa perkara ini ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar kesahihan pembatalan pelantikan tersebut.
Namun, pada 18 November lalu, mereka menarik balik saman berkenaan tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula dan diperintahkan membayar kos keseluruhan sebanyak RM48,000.
Hari ini, tak seorang pun daripada mereka kembali menganggotai barisan EXCO.
Apa yang menarik, pada 27 Oktober lalu, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim masih menolak pelantikan EXCO baharu atas alasan mahu menunggu keputusan mahkamah.
Namun, pada 20 November, beliau sendiri mengakui bahawa pentadbiran kerajaan negeri terencat akibat ketiadaan barisan EXCO.
Selama 68 hari Negeri Sembilan berdepan dengan kekosongan jawatan EXCO, sedangkan kerajaan negeri perlu menguruskan soal pembangunan, pelaburan, kebajikan rakyat dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
Dalam istiadat pagi ini, Tuanku Muhriz turut memberikan peringatan yang cukup tegas kepada enam EXCO baharu.
“Kamu hendaklah sentiasa memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing serta tidak bertindak melampaui kuasa dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.”
Baginda juga menegaskan supaya segala peristiwa yang berlaku sebelum ini dijadikan pengajaran dan tak berulang sehingga menjejaskan kestabilan serta kelancaran pentadbiran negeri.
Saya fikir titah ini bukan sekadar peringatan kepada enam EXCO baharu, tetapi wajar dijadikan pedoman oleh seluruh kepimpinan politik negeri.
Bagi saya, pelantikan enam EXCO baharu ini merupakan perkembangan positif dalam usaha memulihkan pentadbiran kerajaan negeri, meskipun belum tentu segala kemelut yang berlaku sebelum ini selesai sepenuhnya.
Menarik juga untuk kita lihat bagaimana portfolio yang sebelum ini dipikul oleh 10 EXCO akan disusun semula dan diagihkan kepada hanya enam EXCO baharu.
Semoga episod ini menjadi pengajaran tentang pentingnya menghormati institusi diraja, menjunjung keluhuran perlembagaan dan mengutamakan kepentingan rakyat dalam berpolitik.

No comments:
Post a Comment