
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sesi bacaan kali ketiga Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 26 November 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 26 Nov – Setelah lebih sebulan dibahas, akhirnya Belanjawan 2027 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini menjadi manifestasi penting dalam usaha Kerajaan MADANI mengangkat kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.
Keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027, selepas dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 9 Oktober lalu, memberi isyarat penting dalam meneruskan pembangunan dan kesejahteraan rakyat serta negara.

Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, ia turut merangkumi usaha memperkukuh daya tahan dan menjamin masa depan negara.
“Moga segala perancangan dan ikhtiar yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, membawa manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjadi asas yang kukuh untuk membina Malaysia yang lebih makmur, adil dan sejahtera,” ujar Anwar.

Dengan tema “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 menggariskan lapan lunas utama merangkumi komitmen untuk kehidupan rakyat lebih baik sehingga ke agenda memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.
Dengan persetujuan undian suara, ia membawa makna bahawa di pihak pembangkang sendiri tidak mampu menyanggah, jauh sekali menawarkan alternatif yang lebih baik daripada apa yang dibentang Kerajaan MADANI di saat negara berdepan ketidak tentuan ekonomi global.

Belanjawan kelima di bawah Kerajaan MADANI itu melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, selain RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion.
Antara perbahasan yang mencuri tumpuan ialah rasional di sebalik peruntukan besar disediakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meningkatkan kualiti pelajar pelbagai bidang sebagai kelangsungan sumber manusia negara.

Terdahulu, Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan disokong Timbalannya, Liew Chin Tong.
Usul berasingan yang membenarkan perbelanjaan pembangunan sehingga RM85 bilion bagi 2027 turut diluluskan menerusi undian suara.

Rang Undang-Undang Perbekalan itu seterusnya akan dibawa ke Dewan Negara untuk dibahaskan dan diluluskan.
No comments:
Post a Comment