Aksi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membaca sebuah buku yang memaparkan wajahnya sendiri pada kulit hadapan mengundang pelbagai sindiran dalam kalangan netizen.
Gambar yang dikongsikan menerusi platform Threads itu memperlihatkan Zahid sedang membaca buku bertajuk “Buku Biru: 10 Sebab Kita Memilih Umno” ketika berada di dalam pesawat.
Buku yang dikarang oleh Budiman Mohd Zohdi itu menampilkan imej Zahid berpakaian merah sedang menyampaikan ucapan di atas podium.
Bagaimanapun, bukan kandungan buku tersebut yang menjadi tumpuan netizen, sebaliknya aksi Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu membaca buku mengenai sebab memilih Umno yang dipimpinnya sendiri.
“Promote buku atau promote diri sendiri Wak? Agak-agaklah kalau nak berlakon pun,” tulis pengguna Threads, mrnazri.l ketika berkongsi dua gambar berkenaan.
Hantaran tersebut turut mencetuskan sindiran mengenai keperluan seorang presiden parti membaca buku yang menjelaskan sebab untuk memilih partinya sendiri.
“Presiden Umno sendiri kena baca buku 10 sebab kita pilih Umno?” tempelak pengguna dengan nama akaun ahmadaidil8.
“Takkan 10 sebab memilih Umno tak tahu lagi,” sindir netizen lain pula.
Malah, terdapat juga pengguna media sosial yang membandingkan aksi Zahid membaca buku itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Warganet menyifatkan gelagat pemimpin Umno berkenaan sekadar lakonan sebelum membuat perbandingan dengan Anwar.
Sementara itu, pengguna bernama amiratunnajwa pula secara berseloroh mempersoalkan sama ada Zahid sedang membaca buku atau tentatif program.
“Dia tengah baca tentatif ke tu?” perlinya.

No comments:
Post a Comment