Minit pengampunan Najib akhirnya terbongkar, Tony Pua dedah Hannah dan Peguam Negara sama-sama bantah

 


Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sama-sama membantah cadangan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akhirnya dinyahrahsia.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua Kiam Wee berkata, pendedahan dokumen berkenaan memperjelaskan pendirian kedua-dua wakil kerajaan dalam proses pertimbangan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

“Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang memberikan pengampunan kepada Raja Kleptokrat kita akhirnya dinyahrahsia.

Lebih baik lewat daripada tidak langsung,” kata bekas Ahli Parlimen Damansara berkenaan menerusi hantaran Facebook hari ini.

Menurut Tony, walaupun minit mesyuarat tersebut disediakan secara rasmi dan ringkas, pendirian setiap pihak yang terlibat dalam membuat keputusan berkenaan dapat dikenal pasti dengan jelas.

Beliau berkata, Peguam Negara secara khusus membantah cadangan tahanan rumah terhadap Najib, termasuk menyatakan bahawa tiada asas undang-undang untuk membenarkan pelaksanaan hukuman sedemikian.

Implikasi kestabilan

Dalam mesyuarat itu, Dusuki turut membangkitkan kemungkinan implikasi terhadap kestabilan politik, ekonomi, pelaburan dan imej antarabangsa Malaysia jika cadangan tahanan rumah berkenaan dilaksanakan.

Tony menjelaskan bahawa Hannah turut mengambil pendirian sama seperti Peguam Negara dengan menolak cadangan tersebut, yang menurutnya mencerminkan pendirian rasmi kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, Yang di-Pertuan Agong tetap memutuskan untuk memberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani tahanan rumah, meskipun keputusan itu bercanggah dengan nasihat Peguam Negara dan pendirian yang dikaitkannya dengan kerajaan.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat berdasarkan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan keputusan muktamad dalam urusan pengampunan mengikut undang-undang Malaysia.

Bekas Pengerusi DAP Selangor itu berkata, Peguam Negara dan Hannah juga tidak memberikan sebarang ulasan terhadap draf pelaksanaan pengampunan berkenaan kerana kedua-duanya tidak bersetuju dengan keputusan membenarkan tahanan rumah.

Beliau turut mendedahkan bahawa Hannah pada mulanya tidak mahu menandatangani perintah pengampunan tersebut dan meminta supaya tanggungjawab itu diberikan kepada individu lain, termasuk mencadangkan Ketua Setiausaha Negara.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa Ketua Setiausaha Negara bukan anggota Lembaga Pengampunan dan menitahkan Hannah melaksanakan tanggungjawabnya untuk menandatangani dokumen berkenaan, yang menurut Tony akhirnya dipatuhi beliau walaupun dengan berat hati.

“Keputusan Yang di-Pertuan Agong, yang kerajaan tekankan sebagai hak prerogatif baginda di bawah undang-undang Malaysia, telah dihormati dan dilaksanakan oleh kerajaan, walaupun keputusan tersebut bukanlah berdasarkan nasihat atau pendirian kerajaan kita,” kata Tony lagi.




No comments: