Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin nampaknya berjaya mencuri perhatian dunia apabila tampil di Lugano Global Forum, Switzerland. Bukan kerana berjaya menyelesaikan konflik dunia, tetapi kerana bakat membaca teks yang menjadi bahan usikan netizen.
Jauh-jauh terbang ke Switzerland, Hamzah berkongsi mengenai ucapannya tentang ekonomi dunia, persaingan Amerika Syarikat dan China serta masa depan ASEAN.
Namun, di sebalik segala isu besar yang dibangkitkan, seorang netizen berjaya merumuskan penampilan Hamzah dengan hanya dua perkataan, “Baca teks.”
Ringkas, padat dan terus kepada perkara yang menarik perhatiannya. Tak perlu berjela-jela macam ucapan forum antarabangsa.
Kalau benar Hamzah membaca teks sepanjang ucapannya, mungkin inilah antara pencapaian yang boleh dibanggakan. Kemahiran membaca yang mula dipelajari sejak kecil akhirnya berjaya dipersembahkan di bumi Switzerland!
Bayangkan, daripada belajar mengenal huruf A, B dan C, kini sudah boleh membaca mengenai perdagangan dunia, teknologi AI dan geopolitik antarabangsa. Memang jauh perjalanan ilmu itu.
Kalau setakat mahu membaca teks yang sudah disediakan, mungkin selepas ini boleh pertimbangkan menghantar wakil Tabika KEMAS pula. Sekurang-kurangnya dapat juga anak-anak kecil kita pengalaman membaca di pentas antarabangsa.
Bezanya, budak tabika biasanya selepas membaca akan ditanya cikgu sama ada mereka faham atau tidak cerita yang baru dibaca.
Bagi seorang pemimpin yang mahu menunjukkan kredibiliti di mata dunia pula, cabarannya tentu lebih besar. Bukan sekadar lancar membaca, tetapi mampu menghuraikan idea, menjawab persoalan dan mempertahankan hujah sendiri.
Lebih menarik, Hamzah berkongsi tentang bagaimana ASEAN perlu memainkan peranan dalam persaingan kuasa besar dunia, sedangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika itu sedang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN bersama pemimpin negara serantau.
Seorang membentangkan pandangan mengenai ASEAN dari Switzerland, seorang lagi menyertai rundingan rasmi ASEAN di Manila.
Apa pun, tahniah kepada Hamzah kerana berjaya membawa perbincangan mengenai Malaysia dan ASEAN ke Switzerland.
Cuma kalau mahu menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin, orang ramai tentu mahu melihat lebih daripada sekadar keupayaan menyampaikan teks yang disediakan.
Sebab membaca dengan lancar itu satu kemahiran. Tetapi memahami, berhujah dan memimpin, itu peperiksaan yang jauh lebih besar.
Dan untuk berlaku adil, sama ada Hamzah benar-benar membaca keseluruhan ucapannya daripada teks masih belum dapat dipastikan hanya berdasarkan komen netizen.
Yang pasti, daripada panjangnya perkongsian mengenai forum antarabangsa itu, dua perkataan “Baca teks” juga yang berjaya mencuri perhatian!

No comments:
Post a Comment