Tuanku Muhriz Titah Ismail Teruskan Tugas MB Negeri Sembilan? Tamparan Kepada BN?

Dilaporkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Ismail Lasim supaya meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar seperti biasa.
SEREMBAN, 18 Nov – Krisis politik Negeri Sembilan semakin menarik susulan hasil pertemuan semalam, dilaporkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Ismail Lasim supaya meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar seperti biasa.
Perkembangan itu sekali gus memberi gambaran kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar masih belum berubah dan urusan pentadbiran kerajaan negeri kelihatan diteruskan seperti biasa.
Desas desus terdahulu menyebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu dikatakan telah menghantar surat peletakan jawatan selaku peneraju kerajaan negeri kepada Istana Negeri Sembilan seperti dinyatakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abd Kadir.
Bagaimanapun surat yang dimuat naik di media sosial pada 10 malam kelmarin, masih belum disahkan ketulenannya.

Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Ini membawa tamparan hebat kepada BN yang dilaporkan telah menyerahkan satu nama kepada Tuanku Muhriz bagi menggantikan Ismail, tetapi seakan tidak diendahkan.
Ini belum lagi tindakan BN mendahului perkenan Tuanku Muhriz dalam peletakan jawatan Ismail sambil turut menggesa beliau tampil mendedahkan perkara sebenar di sebalik peletakan jawatannya itu.
Beberapa persoalan berhubung proses peletakan jawatan berkenaan masih belum terjawab, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada Ismail menjadi mangsa percaturan politik pihak tertentu.
Anak Ismail dalam satu hantaran di media sosial turut mempersoalkan peletakan jawatan bapanya, menggambarkan Ismail seolah-olah dijadikan ‘kambing hitam’ dalam krisis perlembagaan negeri.
Terdahulu pada malam 16 November lalu, jam 8.38 malam, Tuanku Muhriz sudah memperkenankan permohonan Menteri Besar, Ismail Lasim untuk menghadap baginda pada 20 November, namun dipercepatkan kepada semalam selama sejam setengah di Seremban.
Ini bermakna pintu perbincangan sudah terbuka. Ada peluang untuk kedua-dua pihak duduk berbincang dan mencari jalan keluar daripada kemelut yang berpanjangan.

No comments:
Post a Comment