Minit Lembaga Pengampunan Tular, Agong Perkenan Tahanan Rumah Najib Walau Tidak Dipersetujui Menteri, Peguam Negara?
Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR - Dokumen didakwa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membincangkan pemberian tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tular di media sosial.
Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan tular tersebut dikongsikan oleh pemimpin DAP, Tony Pua di akaun media sosial beliau hari ini
Berdasarkan dokumen yang didakwa merupakan minit mesyuarat kali ke-64 pada 18 September 2026 itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib meskipun cadangan berkenaan tidak dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Peguam Negara.
Menurut perenggan 1.2, Peguam Negara berpandangan Najib perlu meneruskan hukuman sehingga 2028 kerana hukuman tahanan rumah tidak terdapat dalam undang-undang dan merupakan perkara asing dalam sistem negara.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan keputusan itu akan memberi kesan kepada kerajaan, khususnya kestabilan politik, ekonomi, pelaburan serta imej negara di peringkat antarabangsa.
Perenggan 1.3 pula merekodkan Hannah mempunyai pendirian sama seperti Peguam Negara, selaras dengan pandangannya dalam mesyuarat terdahulu.
Malah, perenggan 1.13 mendakwa kedua-duanya tidak memberikan sebarang komen terhadap draf syarat pengampunan kerana tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat tersebut.
Bagaimanapun, perenggan 1.9 menyatakan Agong berkenan memberikan pengampunan bersyarat supaya Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah selepas membayar denda RM50 juta.
Dokumen itu turut merekodkan pindaan syarat oleh Agong, termasuk menukar perkataan 'isteri' kepada 'isteri-isteri' serta memotong frasa yang memerlukan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Komisioner Jeneral Penjara.
Sementara itu, Tan Sri Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Tan Sri Razarudin Husain direkodkan bersetuju dengan syarat-syarat pengampunan tanpa sebarang komen.
Perenggan 1.17 pula mendakwa Hannah membangkitkan kewujudan perintah pengampunan palsu yang tular sebelum itu dan mencadangkan supaya perintah yang dipersetujui dalam mesyuarat ditandatangani pegawai lain seperti Setiausaha Jemaah Menteri.
Cadangan itu dibuat dengan merujuk Seksyen 14 Akta Perwakilan Kuasa 1956 kerana perintah tersebut dikatakan mempunyai implikasi politik besar dan kesan kepada kerajaan.
Peguam Negara kemudian meminta sedikit masa untuk menyemak peruntukan berkenaan sebelum memberikan pandangan.
Bagaimanapun, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Agong berpandangan tidak sesuai untuk Ketua Setiausaha Negara menandatangani perintah itu kerana beliau tidak terlibat dalam perbincangan tersebut.
Razarudin pula berpandangan tindakan meminta pihak lain menandatangani perintah boleh menimbulkan isu lebih besar, seolah-olah Hannah tidak menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Beliau turut menyatakan Hannah boleh membuat laporan polis berhubung perintah pengampunan palsu yang tular.
Akhirnya, perenggan 1.22 merekodkan keputusan Agong supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menandatangani Perintah Pengampunan Bersyarat berkenaan kerana ia merupakan tanggungjawab jawatannya.
Bagaimanapun, dokumen yang dikongsi tidak menunjukkan sama ada Hannah akhirnya menandatangani perintah tersebut.
Untuk rekod, pemberian pengampunan bersyarat kepada Najib pada 18 September lalu telah diumumkan secara rasmi oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.
Namun, kesahihan butiran perbincangan dalam minit mesyuarat yang kini tular itu masih belum dapat disahkan secara bebas. - MYNEWSHUB

No comments:
Post a Comment