Datuk Ismail Lasim masih menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan seperti biasa hari ini, walaupun Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan peletakan jawatannya sejak dua hari lalu.
Ismail menerusi Facebook rasminya memuat naik gambar beliau menghadiri perjumpaan bersama kakitangan kerajaan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS), sekali gus menunjukkan beliau masih menjalankan urusan pentadbiran negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu memaklumkan perjumpaan berkenaan diadakan bersama Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang baharu, Akhmal Abu Basar, yang menggantikan Zairil Azwan Zulmuji selepas pegawai itu ditukarkan ke Kementerian Pendidikan.
Malah, Ismail turut menghadiri Majlis Graduasi Tingkatan Lima Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah Tahun 2026 di Palm Hotel, Seremban semalam, dengan acara rasmi yang dihadirinya masih menggunakan gelaran Menteri Besar.
Menghadiri mesyuarat
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Mohd Fasha Musthafa turut mengesahkan bahawa Ismail masih masuk ke pejabat serta menghadiri mesyuarat dan perjumpaan mengikut jadual yang ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada tindakan Ismail meneruskan tugas itu dibuat atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir atau sebaliknya.
Semalam, Ismail dilaporkan menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban, namun sehingga kini belum terdapat kenyataan rasmi daripada pihak istana mengenai hasil pertemuan tersebut.

Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan peletakan jawatan Ismail selepas memaklumkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima salinan surat peletakan jawatan yang dikatakan diutuskan kepada Tuanku Muhriz.
Namun, Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali menegaskan pihak istana belum mengesahkan ketulenan surat berkenaan.
Beliau juga menjelaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Penurunan takhta
Kemelut terbaharu itu berlaku selepas pentadbiran negeri pimpinan Ismail dari Umno sebelum ini terlibat dalam pertikaian institusi diraja apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 September mengumumkan pengiktirafan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu bagi menggantikan Tuanku Muhriz.
Pengumuman tersebut dibuat selepas mesyuarat yang dipengerusikan Ismail menerima proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Walaupun begitu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kemudian menolak pelaksanaannya berdasarkan pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa barisan Exco tidak mempunyai kuasa membuat pengumuman sedemikian.
Pada 14 November lalu, Ismail mengesahkan beliau telah menghantar surat bertarikh 10 November kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi menarik balik kandungan surat pemakluman terdahulu yang mengiktiraf Tunku Nadzaruddin, dengan mengambil kira perintah mahkamah yang mengekalkan kedudukan Tuanku Muhriz.
Dalam perkembangan berkaitan, Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan sebelum ini menafikan sebarang usaha parti itu untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta.

No comments:
Post a Comment