BILA MCA PERTIKAI JAKIM, DI MANA SUARA PAS, AKMAL DAN UMNO?



Amir Zuhair






Hari ini, secara jelas lagi terang benderang, Parti Cina dalam Barisan Nasional melalui Mike Chong Yew Chuan, yang mengkritik tindakan institusi Islam negara, JAKIM kerana menyiasat unsur-unsur dalam persembahan konsert The Weeknd.


Dalam kenyataan tersebut, dia secara jelas mengaitkan siasatan JAKIM dengan kecenderungan kerajaan menjadi semakin konservatif, malah membangkitkan kebimbangan bahawa tafsiran agama akan mengatasi kebebasan berkarya.


Pertama, sejak bila tindakan sebuah institusi agama menjalankan siasatan terhadap sesuatu aduan dianggap sebagai ancaman kepada kebebasan beragama dan berkarya? Adakah MCA sudah belajar dan naik tanjak mula berani mempertikaikan institusi Islam negara setelah berjaya memenangi beberapa kerusi dalam siri Pilihanraya Negeri?


JAKIM bukan ditubuhkan semalam. Institusi ini mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan. Menjalankan siasatan tidak bermakna seseorang telah melakukan kesalahan. Apatah lagi ia tidak semestinya bermaksud kerajaan mahu mengharamkan sesuatu persembahan.


Tetapi konsert tersebut yang secara jelas bermasalah apabila punyai elemen yang mengugat akidah umat Islam. Seharusnya JAKIM bertindak adakan siasatan kerana ada umat yang dalam kad pengenalannya tertera beragama Islam yang hadir dalam konsert tersebut. 


Jika MCA tidak bersetuju dengan asas siasatan tersebut, kemukakanlah hujah berdasarkan bidang kuasa dan peruntukan undang-undang. Itu lebih munasabah daripada terus menggambarkan tindakan JAKIM sebagai kemunduran atau ancaman kepada masyarakat majmuk.


Kebebasan berkarya bukan bermaksud setiap perkara terlepas daripada penelitian pihak berkuasa. Pada masa yang sama, sensitiviti agama juga tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat kebebasan orang lain secara sewenang-wenangnya.


Kedua, saya amat tertarik untuk mengetahui pendirian PAS, khususnya pimpinan yang selama ini begitu lantang bercakap mengenai kedudukan Islam dan institusinya.


Di mana suara PAS ketika MCA membuat pertikaian ini? MCA ini parti yang berada dalam komponan Barisan Nasional yang hari itu secara jelas Presiden PAS menyeru ahli dan penyokong PAS supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka 2026, termasuk calon MCA dan GERAKAN.


Di mana pula suara Dr. Akmal Saleh dan Pemuda UMNO? Bukankah mereka selama ini kononnya begitu lantang mempertahankan Islam, institusi agama dan maruah umat Islam? Bila DAP keluar kenyataan, tidak sempat siang, berderu panglima semua keluar mengatakan DAP anti kepada institusi Islam. Kali ini bagaimana pula?


Kita telah mendengar begitu banyak ucapan mengenai penyatuan ummah, kekuatan politik Melayu-Islam dan keperluan mempertahankan kedudukan Islam.


Tetapi apabila Pemuda MCA sendiri mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan tindakan JAKIM, apakah pendirian mereka?


Adakah mereka bersetuju dengan hujah MCA? Jika tidak, apakah alasan mereka? Apabila pemimpin mereka menjadikan pembelaan institusi Islam sebagai sebahagian besar daripada perjuangan politiknya, rakyat berhak menuntut pendirian yang konsisten.


Lebih menarik, MCA merupakan komponen Barisan Nasional. Dalam perkembangan politik mutakhir, UMNO dan PAS pula semakin menonjolkan kerjasama atas nama penyatuan ummah.


Adakah mempertahankan institusi Islam hanya menjadi keutamaan terpilih apabila pihak yang dikritik ialah lawan politik? Atau prinsip yang sama turut dipertahankan apabila kritikan datang daripada rakan sendiri?


Akhir sekali, kepada MCA, masyarakat majmuk bukan bermaksud institusi agama Islam tidak boleh menjalankan tanggungjawabnya. Begitu juga kedudukan Islam dalam Perlembagaan tidak bermaksud kebebasan bukan Islam boleh diketepikan sesuka hati.


Kedua-duanya mesti dihormati dalam kerangka undang-undang negara. Kita boleh berbahas tentang batas bidang kuasa JAKIM, kewajaran sesuatu siasatan dan kebebasan persembahan seni. Tetapi perbahasan itu mesti berasaskan fakta, bukan sekadar tanggapan bahawa setiap penelitian agama merupakan langkah ke arah konservatisme.


Kepada mereka yang selama ini begitu lantang membawa slogan mempertahankan Islam seperti Ridhuan Tee, inilah peluang untuk menjelaskan prinsip masing-masing.


Mempertahankan institusi Islam tidak sepatutnya bergantung kepada siapa yang mengkritiknya, sama ada kawan ataupun lawan.


Rakyat berhak mendengar pendirian yang jelas, bukan sekadar slogan yang berulang setiap kali tiba musim pilihan raya.





No comments: