Dalam politik, ada satu seni yang cukup menarik. Seni menyindir orang sambil memberitahu bahawa kita sebenarnya tidak mahu menyindir sesiapa.
Seni ini nampaknya sedang dipersembahkan oleh Penolong Setiausaha Agung PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman, selepas kemenangan BN-PN dalam PRN Melaka.
Syahir menggunakan satu perumpamaan yang cukup indah. Katanya, apabila lawan sudah mencium tanah, tidak perlu dipukul lagi.
Wah! Tinggi sungguh semangat kesukanan politik ini.
Cuma sebelum sampai kepada perumpamaan tersebut, Syahir sempat mengulas kekalahan PH, meraikan kejayaan PAS menewaskan dua tokoh PH dan mengaitkan keputusan Melaka dengan apa yang beliau sifatkan sebagai gelombang penolakan terhadap kerajaan Anwar Ibrahim.
Maknanya, sebelum mengumumkan bahawa orang yang jatuh tidak perlu dipukul, sempat juga diceritakan kepada seluruh kampung bagaimana orang itu jatuh.
Aku terbayang seorang pengadil gusti yang mengangkat tangan pemenang, kemudian mengambil mikrofon untuk mengumumkan bahawa beliau tidak berminat mengulas kekalahan pihak lawan.
Tetapi pengumuman itu sendiri mengambil masa sepuluh minit!
Tidak mengapa. Menang pilihan raya memang sesuatu yang boleh diraikan. PH kalah di Melaka, itu keputusan rakyat yang perlu dihormati.
Namun, kemenangan juga membawa tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada menghasilkan perumpamaan politik yang sedap didengar.
Syahir sendiri mengingatkan wakil rakyat PAS supaya bekerja, berlaku adil kepada semua dan menunjukkan kepimpinan berintegriti.
Baguslah begitu.
Sekarang rakyat boleh menilai sama ada semangat tersebut diterjemahkan melalui perkhidmatan dan pentadbiran.
Kerana akhirnya, orang yang sudah menang tidak lagi dinilai berdasarkan seberapa kuat dia menyindir pihak yang kalah. – Rakyat Menilai

No comments:
Post a Comment