ANWAR IBRAHIM MASUK BAKUL ANGKAT SENDIRI, ATAU ADA YANG SENGAJA ENGGAN MELIHAT ISI BAKUL?







(1) Saya tertarik membaca satu penulisan yang menyindir Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang suka masuk bakul angkat sendiri. Katanya, setiap kali berucap, Anwar bercakap tentang pertumbuhan ekonomi, pengukuhan ringgit, kemasukan pelaburan dan pencapaian negara. Persoalan saya mudah. Sejak bila seorang Perdana Menteri melaporkan prestasi pentadbirannya kepada rakyat dianggap memuji diri sendiri?


(2) Kalau Perdana Menteri tidak menjelaskan pencapaian kerajaan, nanti dituduh empat tahun tidak buat kerja. Apabila Perdana Menteri membentangkan pencapaian kerajaan berserta angka dan statistik, dituduh pula syok sendiri. Sepatutnya yang dipersoalkan ialah kesahihan angka tersebut, bukannya tindakan membentangkan angka itu kepada rakyat.


(3) Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan peningkatan daripada 3.6% pada 2023 kepada 5.2% pada 2024 dan kekal berkembang sebanyak 5.2% pada 2025. Ini bukan angka yang Anwar karang sendiri ketika berada di atas pentas. Ini data ekonomi yang diterbitkan oleh institusi rasmi negara. Department of Statistics Malaysia


(4) Begitu juga dengan pelaburan. Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM384.4 bilion pada 2024 dan meningkat kepada RM426.7 bilion pada 2025, iaitu rekod tertinggi dalam sejarah negara setakat tahun tersebut. Pelaburan pada 2025 melibatkan 8,390 projek yang dijangka mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan. Adakah melaporkan pencapaian ini juga dianggap syok sendiri? MIDA


(5) Kalau tidak mahu percaya kepada Anwar, bacalah laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertarikh 27 Februari 2026. IMF turut merekodkan perkembangan positif ekonomi Malaysia, termasuk kemajuan pengurangan defisit fiskal daripada 4.1% pada 2024 kepada anggaran 3.8% pada 2025. Takkan IMF pun hendak dituduh masuk bakul angkat Anwar? International Monetary Fund


(6) Penulis juga menyindir bahawa rakyat bercakap tentang perut, tetapi kerajaan bercakap tentang angka. Hujah ini agak cetek dari sudut kefahaman ekonomi. Angka pelaburan berkaitan dengan peluang pekerjaan. Angka inflasi berkaitan dengan kenaikan harga barang. Angka pertumbuhan ekonomi berkaitan dengan perkembangan aktiviti perniagaan. Angka hasil negara pula berkaitan dengan kemampuan kerajaan membiayai pendidikan, kesihatan dan bantuan rakyat.


(7) Apakah kerajaan langsung tidak mempedulikan perut rakyat? Gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700. Bantuan STR dan SARA diperluas. Gaji penjawat awam diselaraskan melalui SSPA. Semua ini merupakan antara usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.


(8) Saya tidak mengatakan Malaysia sudah sempurna. Masih ada rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup. Masih ada keluarga yang tidak cukup pendapatan. Pertumbuhan ekonomi juga tidak bermakna setiap rakyat menikmati kemakmuran pada kadar yang sama. Tetapi kewujudan masalah tersebut tidak secara automatik membatalkan segala pencapaian kerajaan.


(9) Sudah tentu kejayaan Malaysia bukan hasil usaha Anwar seorang. Ia melibatkan barisan pentadbiran, penjawat awam, institusi negara, pemain industri dan seluruh rakyat Malaysia.


 Namun, sebagaimana seorang Perdana Menteri perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan pentadbirannya, beliau juga wajar diberikan kredit terhadap pencapaian sepanjang pentadbirannya. Jangan apabila gagal, semuanya salah Anwar. Apabila berjaya, Anwar langsung tidak boleh diberikan penghargaan.


(10) Kritiklah Anwar Ibrahim dengan data. Sangkal angka yang dibentangkannya dengan angka yang lebih tepat. Persoalkan dasar ekonominya dengan hujah yang lebih bernas. Itulah perbahasan yang boleh mematangkan pemikiran masyarakat.


Tetapi kalau sepanjang penulisan hanya mengulang perkataan syok sendiri, mendabik dada dan masuk bakul angkat sendiri tanpa menyangkal data pencapaian yang dibentangkan, itu belum memadai sebagai suatu kritikan ekonomi.


Masalahnya mungkin bukan Anwar masuk bakul angkat sendiri. Masalahnya, bakul itu ada isi, tetapi penulis lebih sibuk menyindir bakul daripada menilai isinya.


Mohd Fadhli Othman







No comments: