Anuar Ahmad
Alhamdulillah. Tahniah Kementerian Pendidikan Malaysia. Teruskan usaha yang baik ini demi memajukan sistem pendidikan negara. Banyak lagi bilik guru yang perlu ditambah baik.
Dulu, berulang kali isu bilik guru ini saya sebut dan tulis di media arus perdana. Kadangkala kritikan saya memang lantang. Sebab saya tak tahan melihat keadaan sesetengah bilik guru di sekolah yang begitu sesak, daif, padat dan panas. Kesian sungguh saya pada guru-guru.
Sehinggalah, kerana kritikan berterusan sebegini, saya pernah menerima surat teguran dari pihak pengurusan tertinggi kementerian kerana saya didakwa lantang mengkritik. Saya telah pun menjawab kembali dan mempertahankan pandangan saya dengan bukti, data dan fakta. Hasilnya, ternyata saya di pihak yang benar.
Mungkin ada pegawai tinggi kementerian jenis ini yang tidak boleh dikritik kerana 'ego besar' mereka. Mereka rasa sebagai pegawai tinggi kementerian, ditegur dan dikritik adalah sesuatu yang mencabar kehebatan jawatan mereka. Mereka tidak bersedia menerima pandangan yang berbeza. Pada saya, mereka jenis ini masih berminda lapuk persis penjajah kolonial dahulu.
Ya, jika diberikan rezeki kesihatan yang baik, saya akan terus menegur. Saya akan terus menganalisa dan mengkritik. Pada masa yang sama juga, saya akan terus memuji kebaikan yang dilakukan pemerintah kepada sistem pendidikan negara.
Pada rakan-rakan di kementerian, jangan ambil kisah sangat dengan kritikan saya. Saya bukan orang politik. Saya tak pernah berminat untuk tulis tentang hal politik. Saya hanya seorang ahli akademik yang cintakan pendidikan anak-anak bangsa.
Cukuplah begitu.

No comments:
Post a Comment