DR HAFIDZAH, CIK SITI WAN KEMBANG BARU KELANTAN



MSO







Belum sampai sepenggal Dr Hafidzah Mustakim menjadi wakil rakyat Kota Lama, Kota Bharu, tetapi namanya sudah harum. Beliau mula disebut-sebut dan dibanding-bandingkan dengan wakil rakyat sebelum ini.


Ada satu posting nakal dalam Facebook berbunyi, “Dr Hafidzah menghidupkan Pasar Siti Khadijah, Siti Zailah pula mematikan bandar Rantau Panjang.” Frasa ini membandingkan wakil rakyat Kota Lama itu dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusof, yang sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat, tetapi belum ada legasi di Rantau Panjang yang boleh dibanggakan.


Keharuman nama Dr Hafidzah bukan sahaja tersebar di negeri Cik Siti Wan Kembang, tetapi turut diperkatakan di luar Kelantan. Kerana keharuman namanya itu, ada orang merasakan bahawa wakil pembangkang (PH) di Kelantan bukan seorang, tetapi lebih daripada seorang.


Dr Hafidzah memenangi kerusi DUN Kota Lama dalam Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos 2023 atas tiket PH (Amanah). Kemenangan Dr Hafidzah menjadi penawar kepada PH Kelantan kerana beliau satu-satunya calon PH yang berjaya memasuki Dewan Undangan Negeri Kelantan.


DUN Kelantan selepas pilihan raya itu hanya “membenarkan” dua wakil pembangkang sahaja bertakhta di dalamnya, iaitu Dr Hafidzah dan Syahbuddin Hashim dari Galas.


Tidak dapat tidak, kemenangan Dr Hafidzah itu menjadi penawar dan ubat pengubat duka kepada PH. Bagaimanapun, kemenangan beliau di DUN Kota Lama tidak begitu meyakinkan kerana hanya memperoleh majoriti 202 undi, menewaskan calon Pas yang diandalkan untuk dilantik sebagai Menteri Besar. Namun, kemenangan tipis itu tetap membawa makna besar.


Keberadaan Dr Hafidzah dalam DUN Kelantan, walaupun bersendirian, tidak sedikit pun mengurangkan peranannya sebagai pembangkang. Beliau tidak kekok menjalankan tugas kerana pengalaman dan profesionalisme dalam gerakan Islam serta kemasyarakatan banyak membantu beliau menjadi seorang ADUN yang berkesan.


Setiap kali Dewan bersidang, beliau tidak pernah mendiamkan diri daripada membangkitkan isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat. Isu yang dibangkitkan bukan sahaja berkisar tentang Kota Lama, tetapi turut meliputi daerah-daerah lain sesuai dengan kedudukan dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.


Melihat kepada khidmat yang dipamerkan, kemenangan Dr Hafidzah memberi semangat kepada pembangkang, khususnya PH. Di samping itu, ia membuktikan bahawa PH mempunyai wibawa dan kemampuan untuk mentadbir Kelantan jika diberi peluang. Dr Hafidzah adalah contohnya.


Sejak mewakili DUN Kota Lama, sudah banyak usaha dan jasa beliau diperkatakan. Rakyat Kota Bharu juga kini benar-benar dapat merasai kehadiran seorang wakil rakyat yang bekerja dan memberikan khidmat. Beliau boleh disifatkan sebagai neon yang menerangi Kota Bharu seluruhnya.


Doktor perubatan, graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Monash, Australia ini sebenarnya sudah dikenali sebelum menjawat jawatan sebagai wakil rakyat lagi menerusi kegiatan kemasyarakatannya. Beliau banyak menggerakkan aktiviti sosial, menaburkan khidmat siang dan malam, memberikan perkhidmatan rawatan kesihatan percuma serta terlibat dalam bidang pendidikan menyediakan kelas tuisyen.


Pelbagai inisiatif dilakukan untuk meletakkan Kota Bharu sebagai sebuah bandar raya Islam yang benar-benar boleh dibanggakan, selaras dengan aspirasi yang sering dilaungkan oleh kerajaan Kelantan.


Salah satu usaha tersebut ialah melestarikan Kota Bharu sebagai sebuah bandar yang bersih dan sihat. Antara langkah yang dilakukannya ialah mengindahkan dan menceriakan Pasar Siti Khadijah.


Atas usahanya yang berani mendekati Perdana Menteri ketika satu lawatan kerja ke Kelantan, Dr Hafidzah telah membisikkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hasratnya untuk mengubah wajah pasar bersejarah itu dan menjadikannya lebih ceria.


Hari ini, pasar berusia leboh 40 tahun yang menjadi salah satu mercu tanda Kota Bharu itu sudah berubah wajah. Ia kini lebih ceria, bersih dan mesra pengguna.


Tidak cukup dengan apa yang telah dilakukan, Dr Hafidzah kini sedang berusaha mendapatkan peruntukan bagi menstruktur semula bahagian dalaman pasar berkenaan, khususnya ruang makan yang memerlukan penambahbaikan ke arah menjadikan pasar itu sebagai mall. 


Beliau amat berharap usahanya itu mendapat perhatian segera daripada pihak yang berkenaan, baik kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat, dengan kerjasama padu komuniti Kota Bharu.


Rancangan ini perlu disegerakan memandangkan Kelantan bakal menjadi tumpuan pelancong apabila perkhidmatan ECRL memulakan operasi pada 12 Disember ini. Dengan penambah baikan prasarana di pasar Siti Khadijah itu menjadikan pasar itu destinasi pelancong utama nanti.


Satu lagi usaha dan jasa terbaharu ADUN ini ialah menaik taraf serta membaik pulih satu-satunya kolam renang awam di Kota Bharu, iaitu Kolam Renang Sultan Yahya Petra, yang sudah berusia lebih 50 tahun.


Atas permintaan masyarakat yang mahu kolam renang itu dipulihkan, beliau telah berusaha mendapatkan bantuan kerajaan pusat sejak beberapa tahun lalu.


Alhamdulillah, kolam berkenaan sudah selesai dibaik pulih dan dinaik taraf untuk kegunaan umum dengan perbelanjaan hampir RM400,000.


Bagaimanapun, bak kata orang, tidak semua kebaikan yang kita lakukan akan diterima dengan baik. Begitu juga dengan kerja buat Dr Hafidzah. Bukan semua pihak senang dengan usaha dan kebajikan yang dilakukannya di Kota Bharu. Ada sahaja pihak yang cemburu dan mempertikaikan khidmatnya.


Paling dikesali, suara-suara yang mempertikaikan itu bukan sahaja datang daripada pihak lawan, tetapi turut kedengaran dalam kalangan orang partinya sendiri. Ada pihak yang cuba menafikan sumbangan dan pencapaian Dr Hafidzah. Malah, terdengar juga khabar angin bahawa kerusi Dr Hafidzah mahu diganggu.


Kalaulah desas-desus ini benar, ia sesuatu yang amat mendukacitakan. Perbuatan sedemikian bukan mencerminkan politik yang sihat dan matang, sebaliknya politik yang membawa kita surut ke belakang.


Sebenarnya, dengan keterampilan yang ditunjukkan Dr Hafidzah, beliau bukan perlu ditukar atau diketepikan, tetapi sepatutnya diberikan peranan yang lebih luas lagi oleh partinya.


Memandangkan pembangkang Kelantan hari ini, khususnya PH, tidak mempunyai ramai tokoh yang boleh diketengahkan dan diberikan kepercayaan untuk memimpin, eloklah jika Dr Hafidzah dipertimbangkan untuk dilantik sebagai pengerusi PH Kelantan. Sekiranya ada cadangan itu ia bertepatan dengan budaya Kelantan yang dikaitkan dengan Cik Siti Wan Kembang yang dianggap sebagai wanita yang berperanan dalam pemerintah Kelanrtan satu masa lalu.


Kita difahamkan, beliau juga tidak diberikan apa-apa peranan dalam sebarang jabatan berkanun atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kelantan. Sayang sekali jika pihak parti mahupun kerajaan Madani sendiri tidak memanfaatkan kebolehan, bakat dan profesionalisme yang dimilikinya untuk kepentingan parti dan kerajaan. Trims.






No comments: