JPN Gesa Orang Ramai Henti Sebar Video Lama Papar Saifuddin Nasution

 


IMG_8353

JPN berkata, penyebaran itu dikhuatiri mencetuskan naratif mengelirukan dan salah faham dalam masyarakat. Foto JPN

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggesa orang ramai menghentikan penyebaran video lama yang tular kembali menunjukkan Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, melakukan upacara perkahwinan sivil pasangan bukan Islam.

Menerusi satu kenyataan di media sosial hari ini, jabatan tersebut berkata, penyebaran itu dikhuatiri mencetuskan naratif mengelirukan dan salah faham dalam masyarakat.

Menurut kenyataan itu, video berkenaan bukan aktiviti baharu, sebaliknya adalah sebahagian daripada pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023.

Tangkap layar penjelasan JPN berhubung video lama yang tular kembali di media sosial pada 16 Oktober 2026. Foto JPN

JPN berkata, pihaknya memandang serius tindakan menularkan semula klip video berkenaan, sedangkan perkara berkenaan sudah dijelaskan secara rasmi sejak 25 Oktober 2023.

“Mengitar semula rakaman lama tanpa menjelaskan konteks sebenar, apatah lagi sehingga menimbulkan persepsi yang mengelirukan, adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya.

“JPN adalah jabatan yang dipertanggungjawabkan melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil pasangan bukan Islam berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

Penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang disiarkan di media sosial JPN pada 16 Oktober 2026. Foto JPN

“Pembabitan MDN dalam upacara perkahwinan sivil itu adalah sebahagian pengisian majlis rasmi JPN pada 2023,” jelas kenyataan itu.




No comments: