Hasrat Umno untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 21 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang boleh menjadi ujian besar kepada usaha Pas untuk menjalin kerjasama dengan parti itu.
Penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, kenyataan Presiden Umno semalam membawa dua mesej, iaitu secara terbuka Umno mahu bertanding sekurang-kurangnya 21 kerusi, manakala secara tersirat parti itu bersedia bergerak solo jika tiada rakan politik menerima syarat berkenaan.
Menurutnya, jika Umno dan Barisan Nasional (BN) mahu bekerjasama dengan parti lain, hanya tujuh daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka yang berbaki untuk ditandingi parti berkenaan.
Katanya, pendirian itu dilihat serius kerana perkara sama ditegaskan berulang kali, termasuk dengan mengaitkan keputusan BN bertanding solo pada PRN Melaka lalu dengan kemenangan besar parti itu.
“Dalam kes ini, dilema paling besar adalah kepada Pas yang sangat obses untuk bekerjasama dengan Umno.
“Sedia atau tidak PN yang dipimpin Pas bertanding hanya tujuh kerusi?” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Yusri berkata, daripada tujuh kerusi yang mungkin diberikan kepada PN, hanya kira-kira tiga dilihat mempunyai potensi kemenangan, manakala empat lagi lebih mencabar.
Situasi itu, katanya, memberikan Pas sekurang-kurangnya dua pilihan jika mahu meneruskan kerjasama dengan BN pada PRN akan datang.
Pilihan pertama ialah menggunakan model Negeri Sembilan, iaitu PN bekerjasama dengan BN dan menerima hanya tujuh kerusi untuk ditandingi, manakala kerusi lain diserahkan kepada BN.
Pilihan kedua pula adalah menggunakan pendekatan seperti di Johor, apabila PN bertanding di kerusi yang menjadi sasaran mereka walaupun terpaksa berdepan BN di beberapa kawasan.
Bagi kerusi yang tidak ditandingi PN, ahli dan penyokongnya pula boleh diarahkan memberikan sokongan kepada BN.
Bagaimanapun, Yusri berkata terdapat pilihan ketiga sekiranya dua pendekatan berkenaan tidak dapat diterima, iaitu PN bertanding di semua kerusi DUN.
Menurutnya, pilihan itu juga mempunyai asas berdasarkan keputusan PRU15 pada November 2022 apabila sokongan terhadap PN di Melaka dilihat agak kukuh.
“PN menang undi di 10 kerusi DUN, berbanding BN yang hanya menang undi empat DUN,” katanya.
Dengan Umno mahu mengekalkan 21 kerusi dan Pas pula perlu menentukan sejauh mana sanggup berkompromi, pembahagian kerusi dijangka menjadi ujian sebenar sama ada kerjasama kedua-dua blok politik itu mampu direalisasikan di Melaka.
No comments:
Post a Comment