Perubahan Iklim Topik Perbincangan PM Anwar-Al Gore

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), AI Gore mengenai cabaran perubahan iklim dunia pada 6 September 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 6 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore mengenai cabaran perubahan iklim dunia terutama tatkala Malaysia sedang berdepan cabaran jerebu susulan kebakaran hutan di Indonesia.

Berkongsi hantaran di media sosial, Perdana Menteri memberitahu perkara berkenaan tidak lama selepas berhubung menerusi panggilan telefon dengan bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang berada di Pulau Pinang dalam hantaran berasingan.

Perdana Menteri berkata, perbincangan tersebut turut menyentuh komitmen serta langkah yang sedang digerakkan Malaysia dalam melaksanakan peralihan tenaga, daripada kebergantungan kepada bahan api fosil kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.

Beliau berkata, ikhtiar itu selaras dengan iltizam Kerajaan MADANI untuk membina sebuah negara yang bukan sahaja progresif dan berdaya tahan dari segi ekonomi, tetapi turut bertanggungjawab dalam memelihara kelestarian alam demi kesejahteraan generasi mendatang.

“Saya turut menyampaikan undangan kepada Al Gore untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat bagi meneruskan perbincangan serta meneroka ruang kerjasama yang lebih bermakna dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan mempercepat agenda peralihan tenaga negara,” ujar Anwar.

Untuk rekod, Al Gore merupakan Naib Presiden AS dari tahun 1993 hingga 2001 ketika era pemerintahan Presiden Bill Clinton selama dua penggal.



No comments: