Label PH melatah, Kamil balas Ahmad Fadhli soal isu Amerika

 


Dakwaan mengenai campur tangan kuasa asing dalam usaha menjatuhkan kerajaan Malaysia bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan, sebaliknya wajar disiasat bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara tidak terjejas.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim berkata, tindakan membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan tidak sepatutnya dipersoalkan, terutama apabila ia melibatkan kemungkinan campur tangan pihak asing dalam urusan politik negara.

Beliau berkata, sekiranya benar wujud pihak asing yang menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan kesahihannya.

“Kenapa melatah apabila laporan polis dibuat? Kalau ada dakwaan kuasa asing menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia, bukankah perkara itu sepatutnya disiasat?

“Ini bukan isu kecil kerana ia menyentuh soal keselamatan negara, kedaulatan dan kemungkinan campur tangan asing,” katanya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengenai tindakan PH membangkitkan isu berkaitan Amerika Syarikat.

Ahmad Fadhli sebelum ini mempersoalkan mengapa PH dianggap melatah apabila Pas membangkitkan dakwaan berkaitan campur tangan Amerika dalam politik Malaysia.

Mengulas perkara itu, Kamil berkata, persoalan lebih penting bukan siapa yang membuat laporan polis, sebaliknya sama ada dakwaan tersebut mempunyai asas dan perlu disiasat oleh pihak berkuasa.

Katanya, jika maklumat mengenai cubaan pihak asing untuk mempengaruhi atau menjatuhkan kerajaan benar-benar pernah disampaikan kepada pimpinan Pas, perkara itu juga sewajarnya dilaporkan kepada pihak berkuasa pada ketika ia diterima.

“Kalau benar ada maklumat seperti itu sampai kepada pimpinan Pas, mengapa tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa? Bukankah sebagai wakil rakyat mereka juga mempunyai tanggungjawab mempertahankan kepentingan negara?” katanya.

Kamil turut mempersoalkan apakah kepentingan politik parti perlu diletakkan mengatasi isu yang menyentuh kedaulatan negara.

“Apakah kepentingan Pas mengatasi kepentingan mempertahankan kedaulatan Malaysia? Kalau dakwaan itu benar, kita semua patut mahu ia disiasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terbuka dapat menentukan sama ada dakwaan berkenaan mempunyai asas atau sekadar dakwaan politik, selain mengelakkan isu itu terus menjadi bahan pertikaian antara parti.

“Biar pihak berkuasa tentukan benar atau tidak. Yang penting, jangan jadikan isu keselamatan dan kedaulatan negara sebagai bahan permainan politik,” katanya.


No comments: