TAK FAHAM ATAU TAK CINTA ISLAM, MAKA TAK SOKONG PAS — WALAUPUN KE MEKAH BERKALI-KALI

 






Nik Amar kali ini pergi agak jauh.
Katanya, orang yang tidak faham Islam dan tidak cinta Islam tidak akan menyokong PAS. Malah kalau seseorang itu Muslim, pergi Mekah berkali-kali sekalipun, tetapi masih tidak mengundi PAS, penjelasan yang diberikannya tetap sama — tidak faham dan tidak cinta Islam.
Itu memang intipati kenyataan beliau dalam ceramah di Pengkalan Chepa.
Mudah betul ukurannya. Nak tahu seseorang itu cinta Islam atau tidak, rupanya tak perlu tengok akhlaknya, ilmunya, ibadahnya atau perjuangannya. Tengok sahaja dia pangkah logo mana dalam peti undi.
Kalau begitu, berjuta-juta orang Islam yang tidak mengundi PAS macam mana? Orang yang solat, puasa, bayar zakat, pergi haji, belajar agama bertahun-tahun, bahkan mungkin mengajar agama — semuanya masih boleh masuk kategori “tak faham” atau “tak cinta Islam” hanya kerana pilihan politiknya berbeza?
Di sinilah politik mula masuk kawasan yang sangat bahaya. PAS boleh kata dasar mereka terbaik. PAS boleh kata mereka paling layak memerintah. Itu politik, berhujahlah sampai pagi. Tetapi apabila sokongan kepada sebuah parti mula dijadikan kayu ukur kecintaan kepada Islam, ceritanya sudah lain.
Itu sudah meniru gaya politik Khawarij.
Menariknya, Yusuf al-Qaradawi — tokoh yang begitu dekat dengan dunia gerakan Islam — pernah mengingatkan perkara yang hampir tepat mengenai masalah ini.
Beliau menegaskan bahawa gerakan Islam jangan dicampuradukkan dengan Islam itu sendiri. Mengkritik gerakan Islam bukan bermaksud mengkritik Islam, dan tidak ada satu jamaah pun yang maksum daripada kesalahan, khususnya dalam perkara ijtihad.
Maksud Qaradawi itu mudah sahaja. Parti, jamaah dan gerakan dibuat serta diurus manusia. Manusia boleh betul, boleh salah. Islam pula agama. Jangan suatu hari sampai orang tidak setuju dengan parti kita, kita terasa seolah-olah dia sedang tidak setuju dengan Islam.
Qaradawi juga tidak menolak kewujudan pelbagai kelompok yang bekerja untuk Islam. Malah beliau mensyaratkan supaya mereka berbaik sangka dan bertoleransi dalam perkara khilaf. Beliau mahu gerakan Islam menjadi gerakan seluruh umat, bukannya terkurung sebagai gerakan satu kelompok yang kemudian memandang serong kepada Muslim di luar kelompoknya.
Sebab itu bila keluar logik “kalau faham Islam, mari dengan kita; kalau tak mari dengan kita, maknanya tak faham Islam”, orang tentu akan teringat penyakit lama politik beragama: kelompok sendiri semakin lama semakin dekat dengan kebenaran mutlak, sementara orang di luar kelompok semakin lama semakin kurang Islamnya.
Gaya pemikiran eksklusif yang mula mengukur agama orang lain berdasarkan keberpihakan kepada kelompok sendiri memang wajar diperhatikan dengan serius.
PAS ialah PAS. Islam ialah Islam.
PAS boleh kalah pilihan raya, Islam tidak kalah. PAS boleh tersilap, Islam tidak tersilap. Orang boleh menolak PAS tanpa menolak Islam, sebagaimana orang boleh mengkritik PAS tanpa membenci Islam.
Kalau sampai pergi Mekah berkali-kali pun belum cukup untuk membuktikan cinta kepada Islam kerana akhirnya masih kena tunjuk kertas undi juga, mungkin sudah sampai masanya kita tanya: sebenarnya yang sedang dipertahankan itu agama, atau parti?

No comments: