‘Kalau tak mahu, duduk sajalah dalam penjara’, netizen balas kenyataan peguam Najib

 


Kenyataan peguam Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan syor pemasangan kawat duri, lampu sorot dan menempatkan pengawal bersenjata di kediaman bekas Presiden Umno itu sebagai tidak masuk akal mengundang kecaman dan sindiran netizen di media sosial.

Peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dilaporkan berkata langkah keselamatan sedemikian tidak selari dengan tujuan tahanan rumah.

Shafee berkata, tahanan rumah sepatutnya membolehkan seseorang menjalani kehidupan secara normal dan bukan menjadikan kediaman seperti sebuah penjara.

Bagaimanapun, kenyataan itu menuai kritikan rakyat yang mempersoalkan apa makna tahanan rumah sekiranya banduan mahu menjalani kehidupan seperti biasa tanpa sekatan yang ketat.

Antaranya, pengguna Facebook, M Ahmad Mohamed, secara sinis mencadangkan supaya Najib terus menjalani hukuman di penjara jika syarat tahanan rumah menjadi pertikaian.

“Kalau tak nak, duduklah penjara. Tu pun tak boleh brain?” tulisnya.

Pandangan hampir sama disuarakan Jips Jips yang mempersoalkan apakah sebenarnya yang dikehendaki dalam pelaksanaan tahanan rumah.

“Kau nak apa sebenarnya, Shafee? Kau ingat penjara di rumah tu agak-agaknya boleh buat sesuka hati ke? Tak masuk akal,” tempelaknya.

Begitu juga dengan Inche Afiq Lazim yang turut menyindir perdebatan tersebut dengan mengingatkan bahawa tahanan rumah masih merupakan satu bentuk hukuman penjara.

Hormati ketetapan

Sementara itu, Mohd Kamal Mohd Rathi membangkitkan persoalan mengenai tahap keselesaan yang sepatutnya diberikan kepada seseorang banduan.

“Rumah sebagai penjara memang macam tu lah rupanya. Tahanan rumah bukan bermakna banduan tinggal macam di hotel atau resort. Ada faham tak?” ujarnya.

Tidak kurang juga yang meminta supaya ketetapan pihak berkuasa dihormati. Sokri Othman meninggalkan komen ringkas, “Nak tahanan rumah sangat, hadaplah”, manakala Hanafi Said pula menulis, “Ikut je lah arahan pihak yang bertanggungjawab. Jangan banyak songeh.”

Terdahulu, Shafee berkata, tahanan rumah berbeza daripada parol dan pengurangan hukuman.

Beliau turut mempertikaikan pelbagai spekulasi mengenai bentuk kawalan yang mungkin dikenakan terhadap Najib.

Menurutnya, pasukan guaman masih belum menerima surat rasmi yang memperincikan syarat pengampunan bersyarat berkenaan.

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan.

Setakat hari ini, Najib masih berada di Penjara Kajang. Shafee mengesahkan bahawa pihaknya dan Jabatan Penjara masih belum menerima surat rasmi berhubung pengampunan tersebut.



No comments: