ZAINUDDIN OMAR
*****
Pengerusi Wawasan, Rais Yatim, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menghasut pada Jun lalu.
Rais yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Negara membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan hakim, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, Rais didapati menyebut perkataan menghasut iaitu "mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
“Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar ke-12 melakukan apa-apa sahaja hal kedirajaan.
“Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan".
Rais, 84, dituduh melakukan kesalahan itu di Parkroyal A’Famosa Melaka Resort, Jalan Kemus, Simpang Ampat di Alor Gajah kira-kira jam 1 petang pada 5 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum berdasarkan Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan – yang dikendalikan Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar selaku timbalan pendakwa raya – memohon jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Rais yang diwakili lima peguam termasuk anaknya sendiri, Danni, pula memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh memberikan kerjasama yang baik dengan hadir di mahkamah pada pagi ini walaupun lewat dimaklumkan pada malam semalam.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 27 Okt depan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment