
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri China, Li Qiang ketika menghadiri mesyuarat dua hala dua di Rumah Tetamu Negara, West Lake, Hangzhou pada 24 September 2026. Foto PMO
HANGZHOU, 24 Sep – Sepanjang lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Shanghai dan Hangzhou, Malaysia telah merekodkan potensi pelaburan bernilai lebih RM28 bilion menerusi pelbagai sektor berteknologi tinggi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, potensi pelaburan itu diraih hasil perbincangan bersama 26 syarikat termasuk lima syarikat gergasi China seperti AgiBot Innovation yang menyatakan komitmen mereka bernilai RM1 bilion di Malaysia menjelang tahun 2035.

“Menerusi sesi perbincangan meja bulat perniagaan, syarikat terkemuka China memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan pelaburan dalam sektor berimpak tinggi yang mampu memperkukuh rantaian nilai industri negara.
“Antara sektor dikenal pasti mempunyai potensi besar termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), bahan bateri, optik termaju, bioteknologi, teknologi kesihatan, peranti perubatan, bahan kimia khusus dan pembuatan termaju,” katanya.

Turut serta, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Duta Malaysia di China, Datuk Norman Muhamad.
Menurut beliau lagi, perkembangan teknologi perubatan China, termasuk penggunaan AI dan prosedur pembedahan mikro, boleh diteroka menerusi segmen perubatan termaju.

“Saya amat kagum perkembangan teknologi perubatan di sini, khususnya penggunaan AI dan prosedur pembedahan mikro yang berjaya memulihkan penglihatan ribuan pesakit mengalami masalah buta atau penglihatan terhad.
“Ini bidang bernilai tinggi yang wajar kita kaji secara mendalam bagi memanfaatkan teknologi terbaik untuk pembangunan negara Malaysia,” katanya.

Lawatan Anwar ke China kali ini turut membabitkan penyertaan Malaysia dalam Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 selain menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) di sini.
Terdahulu di Shanghai semalam, Anwar memaklumkan sebuah lagi syarikat, iaitu ZTE Corporation turut menggariskan inisiatif serta pelaburan bernilai RM170 juta bagi memacu transformasi digital Malaysia, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang kerjaya berkualiti buat anak-anak tempatan.

No comments:
Post a Comment