Kemesraan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencuri perhatian ketika kedua-duanya menghadiri Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak di ibu negara, hari ini.
Dalam rakaman video yang tular, Ahmad Zahid dilihat duduk bersebelahan Anwar sebelum membisikkan sesuatu kepada beliau.
Anwar kemudian membalas bisikan tersebut dengan senyuman dan gelak kecil, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai perkara yang disampaikan oleh Presiden Umno itu.
Bagaimanapun, kandungan perbualan ringkas antara kedua-dua pemimpin tersebut tidak dapat dipastikan.
Program bertemakan “Arkitek Pembangunan Negara Bangsa” itu berlangsung di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana dan dirasmikan oleh Anwar.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia itu bertujuan mengangkat serta menghayati legasi dan sumbangan Perdana Menteri kedua berkenaan terhadap pembangunan negara.
Penganjur menyifatkan Tun Abdul Razak sebagai negarawan yang meletakkan asas kukuh kepada pembangunan, perpaduan rakyat dan pembinaan negara bangsa.
Momen mesra Anwar dan Ahmad Zahid itu turut mendapat perhatian kerana berlaku dua hari selepas Timbalan Perdana Menteri berkenaan menafikan dakwaan wujud masalah atau perselisihan antara mereka.
Ahmad Zahid sebelum ini menegaskan BN kekal komited memastikan kestabilan politik negara dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Anwar juga sebelum ini menolak dakwaan hubungan mereka retak sambil menjelaskan bahawa hubungannya dengan Ahmad Zahid berada dalam keadaan baik dan sebarang perbezaan diuruskan melalui pendekatan perdamaian.
No comments:
Post a Comment