Tak perlu tunggu ‘buah gugur’, PH sedia bertanding di Melaka tanpa BN

 


Pakatan Harapan (PH) tidak perlu menunggu sebarang ‘buah gugur’ daripada Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila gabungan itu menegaskan kesediaan bertanding sendiri jika tiada kerjasama dimuktamadkan.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang keputusan rasmi berhubung kerjasama mahupun pembahagian kerusi dengan BN bagi menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.

Beliau berkata, PH bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan termasuk turun ke gelanggang tanpa kerjasama BN sekiranya rundingan antara kedua-dua pihak tidak menjadi kenyataan.

“Setakat hari ini belum. Kalau ada, kita ada. Kalau tak ada, lawan atau tak lawan.

“Benda ini dibangkitkan dan mereka bersedia berbincang, kita kata okey dan akan bincang.

“Tetapi tarikh dan masa tidak dinyatakan,” katanya kepada pemberita di NCT Smart Industrial City, Sepang hari ini.

Amirudin berkata, perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setakat ini hanya berlangsung secara dalam talian dan belum memasuki peringkat rundingan rasmi.

‘Buah baru masak’

Terdahulu, Ab Rauf secara berseloroh menyebut bahawa 19 September ini sebagai tempoh “buah baru masak”.

Ia seolah-olah memberi bayangan pengumuman mengenai pembubaran DUN mungkin dibuat tidak lama selepas tarikh tersebut.

Semalam pula, Ab Rauf memberi bayangan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mungkin diumumkan menjelang akhir bulan ini.

ADUN Tanjung Bidara berkenaan memberi gambaran bahawa hari penting bagi negeri itu bakal berlangsung dalam tempoh ‘dua kali Jumaat’ lagi.

Bagaimanapun, Amirudin menyifatkan kenyataan Ab Rauf itu masih sekadar bayangan memandangkan keputusan akhir pembubaran DUN tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka.

“Dua Jumaat itu berapa kali? Kalau lepas Jumaat sekali, jadi tiga Jumaat. Kita tengoklah. Ini semua bayangan.

“Tak kisahlah, itu hak dia selaku Ketua Menteri yang harus diluluskan oleh TYT,” katanya.

Amirudin berkata, PH kini mempergiat persiapan menghadapi pelbagai senario termasuk kemungkinan berdepan pertandingan dalam konfigurasi politik yang berbeza berbanding PRN sebelum ini.






No comments: