𝗥𝗖𝗜 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜: 𝟭𝟬 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗟𝗔𝗟𝗨, 𝟱 𝗣𝗘𝗥𝗗𝗔𝗡𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜 𝗗𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜 𝗠𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗗𝗘𝗣𝗔𝗡 𝗥𝗜𝗦𝗜𝗞𝗢

 

𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔

𝟯𝟭 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟲


𝗥𝗖𝗜 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜:

𝟭𝟬 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗟𝗔𝗟𝗨, 𝟱 𝗣𝗘𝗥𝗗𝗔𝗡𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜 𝗗𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜 𝗠𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗗𝗘𝗣𝗔𝗡 𝗥𝗜𝗦𝗜𝗞𝗢


Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji telah mengembalikan perhatian orang ramai kepada pelbagai isu yang berlaku di Tabung Haji sejak 2014 lagi.


Kes Tabung Haji adalah sesuatu yang peribadi kepada saya kerana saya adalah ahli politik yang pertama yang mendedahkan kedudukan rizab Tabung Haji yang negatif bermula dari tahun kewangan 2015.


Saya bawa perkara ini ke parlimen seawal Mac 2016, diikuti dengan 34 pendedahan lain di antara 2016 ke 2018 mengenai salah laku, pelaburan yang lesap dan keterlibatan Tabung Haji dalam skandal 1MDB sepanjang pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak dahulu.


Saya telah ditangkap, didakwa dan hampir dipenjarakan. Selama sedekad saya menjadi bahan fitnah kononnya saya menghasut orang Islam untuk memusnahkan Tabung Haji.


Hasil dari pendedahan-pendedahan ini juga telah menjadi modal politik kepada PKR dan Pakatan Harapan selama sedekad.


Malah, isu laporan RCI Tabung Haji kali ini pun timbul akibat dari ucapan-ucapan saya di PRN Johor sebulan lalu yang mengkritik kompromi politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan UMNO, sehingga laporan RCI itu diperam selama lebih tiga tahun.


Apa pun, saya bersyukur laporan ini telah didedahkan untuk memberi peluang kepada orang ramai membaca dan menilai sendiri, selain dari membersihkan nama saya dari fitnah lawan politik terhadap saya mengenai Tabung Haji.


Laporan yang panjang itu mengesahkan 5 perkara pokok:


i. Pelbagai transaksi yang mencurigakan dan yang menyembunyikan maklumat telah berlaku sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit;


ii. Rizab Tabung Haji telah menjadi negatif sejak dari tahun kewangan 2015 dan memuncak dalam tahun kewangan 2017, sehingga memaksa kerajaan PH ketika itu di bawah pentadbiran Tun Mahathir Mohamad meluluskan satu ‘bail-out’ bernilai RM19.9 bilion (nilai akhir sekitar RM27.8 bilion pada tarikh matang pada keuntungan 4.05% ke 4.10% setahun);


iii. Hibah (atau keuntungan) tetap diagihkan kepada pendeposit antara tahun 2014 hingga 2017 walaupun rizab Tabung Haji telah menjadi negatif demi populariti politik UMNO/BN, yang menjadikan Tabung Haji beroperasi sebagai skim cepat kaya (menggunakan simpanan pendeposit baru untuk dipusing modal membayar dividen kepada pendeposit lain);


iv. Tabung Haji telah mencipta peraturan perakaunan dalaman untuk membolehkan hibah dibayar semasa rizab negatif, walaupun itu bertentangan dengan akta dan peraturan-peraturan pelaporan kewangan Malaysia dan antarabangsa; dan 


v. ‘Bail out’ Tabung Haji berjumlah RM27.8 bilion (pada nilai akhir semasa matang) melalui UJSB hanyalah satu tindakan sementara yang bergantung kepada kemampuan Kerajaan Persekutuan melunaskan komitmen ‘bail out’ itu pada tarikh matang.


Saya bersetuju dengan hampir semua saranan-saranan yang dibuat ahli-ahli RCI. Ini termasuklah:


a) Semua Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji dan anak-anak syarikat Tabung Haji, pegawai-pegawai kanan yang membuat keputusan perlu dipertanggungjawabkan;


b) Siasatan perakaunan forensik perlu dibuat bersama-sama dengan siasatan jenayah oleh SPRM, SC, PDRM, BNM dan mana-mana agensi penguatkuasaan dan penyelia; dan


c) Kerajaan perlu memutuskan dengan telus dan berterus terang mengenai model pembiayaan haji untuk memastikan beban subsidi haji tidak terus meningkat hingga mengancam kelangsungan Tabung Haji.


Malah, ada beberapa perkara yang saya rasa tindakan yang perlu dibuat itu mesti lebih keras.


Contohnya, Malaysia perlu mengkanunkan secara undang-undang satu bentuk kesalahan kepada pembuat keputusan (baik menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan) apabila berlaku penyelewengan di bawah seliaan mereka, walaupun mereka mengaku tidak mendapat laba dari penyelewengan itu.


Ini adalah kenyataan pertama dari saya dan BERSAMA mengenai RCI Tabung Haji.


Dalam minggu-minggu akan datang, saya akan membentangkan analisis dan pendedahan mengenai banyak lagi perkara-perkara yang disentuh di dalam laporan RCI ini.


Harapan saya supaya orang ramai dapat mengetahui kedudukan sebenar Tabung Haji yang sebenarnya masih terdedah kepada risiko kelangsungan, walaupun Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendabik dada kononnya laporan RCI hanya didedahkan kini (setelah diperam selama 3 tahun) kerana pentadbirannya telah berjaya memulihkan Tabung Haji.


Saya juga akan mengupas laporan RCI ini secara terperinci dalam Podcast YBM Episod 57 malam ini, jam 9 malam.


𝟯𝟭 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟲


Bagi pihak 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 

𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜 𝗥𝗔𝗠𝗟𝗜





No comments: