Selepas AMANAH Pasir Gudang mahu boikot PRN, ini reaksi Bang Mat


 


Tidak timbul masalah bagi AMANAH meletakkan calon bukan Melayu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mesra dipanggil Bang Mat, beliau berkata, pemilihan calon sudah diputuskan dan tidak timbul masalah berhubung keputusan itu yang menyaksikan Sharon Teo dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) mewakili AMANAH di kerusi tersebut.

“Tiada masalah (letak calon), kita selesai semua.

“Insya-Allah,” katanya, dipetik BH, ketika diminta mengulas mengenai pendirian AMANAH Pasir Gudang yang mahu memboikot calon tunggal bukan Islam yang mewakili AMANAH pada PRN Johor itu.

Terdahulu, AMANAH Pasir Gudang mengadakan sidang media menyatakan keputusan memboikot calon PH bagi DUN Permas yang diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Jun lalu.

Penolong Setiausaha AMANAH Pasir Gudang, Haini Harun, berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara kerana pihaknya masih menyokong Ketua AMANAH Pasir Gudang, Syed Othman Abdullah sebagai calon.

Kelmarin, Sharon yang merupakan Ketua Wanita AMANAH Negara (Warda) Johor antara 19 calon PH mewakili AMANAH yang akan bertanding dalam PRN Johor pada 11 Julai depan.

Sharon, 36, atau nama sebenarnya Teo Siew Hui sebelum ini adalah anak didik bekas Timbalan Presiden AMANAH, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub merangkap bekas Ahli Parlimen Pulai.

Beliau yang juga Naib Ketua Warda Nasional pernah dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Salahuddin dari 2020 hingga 2022.

Bekas Penolong Setiausaha AMANAH Johor berkenaan kemudian meneruskan khidmat sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dari 2022 hingga 2023.



No comments: