Kerajaan Garis Langkah Kawal Selia Had Usia 16 Tahun Media Sosial – Fahmi

 


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah berkenaan termasuk pengesahan usia oleh pengguna perkhidmatan mesti disokong rekod rasmi kerajaan termasuk MyKad, sijil kelahiran dan pasport dan bukan sekadar pengisytiharan sendiri.

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kerajaan menetapkan beberapa langkah kawal selia bagi memastikan mekanisme pengesahan usia tidak dimanipulasi syarikat pemberi perkhidmatan media sosial susulan penguatkuasaan had usia 16 tahun bagi akaun media sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah berkenaan termasuk pengesahan usia oleh pengguna perkhidmatan mesti disokong rekod rasmi kerajaan termasuk MyKad, sijil kelahiran dan pasport dan bukan sekadar pengisytiharan sendiri.

Beliau berkata, pemberi perkhidmatan media sosial juga perlu melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak dalam bentuk reka bentuk (safety by design) dan mempertingkat perlindungan bersesuaian dengan usia bagi pengguna kanak-kanak.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 1 Jun 2026. Foto MCMC

“Selain itu, semua proses tertakluk kepada keperluan perlindungan data dan had penggunaan maklumat.

“Pada masa sama, tindakan kawal selia dan penguatkuasaan selaras dengan undang-undang, termasuk penalti kewangan boleh dikenakan ke atas Pemberi Perkhidmatan Berlesen yang gagal mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai tujuan pelaksanaan pengesahan usia bagi akaun media sosial dan bagaimana kementerian memastikan penyedia perkhidmatan berlesen hanya diberikan akses kepada ciri-ciri data peribadi yang terhad dan berkadar serta diwajibkan untuk memadam data berkenaan selepas tujuan pengumpulannya dipenuhi.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 1 Jun 2026. Foto MCMC

Fahmi memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan CPC dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) , bertujuan mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, terutama bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dan kemudaratan dalam talian.

Obligasi di bawah kod itu terpakai kepada Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) dan Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) berlesen (Pemberi Perkhidmatan Berlesen) di bawah Akta 866.

“Di bawah CPC, Pemberi Perkhidmatan Berlesen yang menawarkan perkhidmatan media sosial wajib melaksanakan mekanisme pengesahan usia dan bukannya pengesahan identiti bagi memastikan pematuhan terhadap had usia minimum yang ditetapkan.

“Pengguna yang mencapai usia 16 tahun dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun media sosial, manakala individu di bawah usia itu tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial sehingga mencapai usia yang ditetapkan.

Di negara ini, had umur 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya bulan depan mengikut kerangka Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025).

“Pelaksanaan pengesahan usia ini bukan bertujuan menghalang atau melarang kanak-kanak daripada menggunakan media sosial secara kekal, sebaliknya untuk menangguhkan pemilikan akaun media sosial sehingga mereka mencapai usia 16 tahun dan mempunyai tahap kematangan yang lebih sesuai bagi menggunakan platform itu secara selamat dan bertanggungjawab,” katanya.

Fahmi menjelaskan, selain dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan sijil kelahiran, CPC turut membenarkan penggunaan dokumen lain yang diiktiraf kerajaan Malaysia, termasuk rekod setara yang dikeluarkan pihak berkuasa kompeten di bidang kuasa lain supaya akses kepada perlindungan dalam talian dapat diberikan secara saksama kepada semua kanak-kanak tanpa mengira status dokumentasi mereka.

Katanya, pelaksanaan mekanisme itu perlu dibuat dengan selamat, praktikal dan menghormati privasi pengguna, selaras dengan keperluan di bawah CPC.

MCMC berkata, dua kod berkenaan merangkumi perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun yang akan berkuat kuasa 1 Jun 2026. Foto MCMC

“Pemberi perkhidmatan media sosial perlu memastikan proses pengesahan usia mematuhi undang-undang berkaitan perlindungan data peribadi, termasuk prinsip peminimuman data dan pengehadan tujuan dengan mengehadkan pengumpulan data kepada maklumat yang diperlukan bagi tujuan pengesahan usia serta melupuskannya selepas tujuan itu selesai dilaksanakan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Syahredzan mengenai bagaimana kerajaan dapat memastikan syarikat pemberi perkhidmatan mematuhi undang-undang dan arahan kerajaan, Fahmi memaklumkan, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 30 Akta 866 jika mereka gagal mematuhi peraturan.

“Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan adalah satu kesalahan dan apabila disabitkan di mahkamah, boleh didenda tidak lebih RM1 ringgit serta denda tambahan tidak lebih RM100,000 setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

“Pada masa sama, MCMC juga boleh mengeluarkan notis ketidakpatuhan jika berlaku mana-mana perkhidmatan pemberi perkhidmatan aplikasi gagal mematuhi mana-mana kewajipan di bawah Bahagian 3 Akta 866 dan pemberi perkhidmatan berlesen yang menerima notis perlu membayar penalti kewangan yang ditetapkan atau memohon kepada MCMC bagi tujuan kajian semula melalui representasi.

“Bagi ketidakpatuhan kepada Bahagian 3 Akta 866 ini, pemberi perkhidmatan berlesen boleh dikenakan penalti kewangan tidak lebih RM10 juta,” katanya.

Oleh Zanariah Abd Mutalib



No comments: