MENANG KURANG 40 KERUSI DI JOHOR, BN AKAN DIKIRA KECUNDANG




24 Jun 2026
Bahang PRN Johor semakin panas menjelang penamaan calon, 27 Jun ini.
Meskipun sekurang-kurangnya ada empat parti atau gabungan akan bertanding - BN, PH, PN dan Bersama - tetapi persaingan sebenar ialah antara BN dan PH.
PH telah pun mengumumkan senarai calonnya pada 22 Jun lalu, manakala BN pula dijangka membuat pengumuman calon pada petang ini.
Kedua-dua gabungan akan bertanding di semua 56 kerusi.
PN pula dijangka akan membuat pengumuman calon malam esok - juga dipercayai 56 kerusi - sementara Bersama hanya akan bertanding 15 kerusi.
Dalam persaingan antara BN dan PH yang dijangka menjadi fokus utama, selain kedua-duanya ingin menang dan menubuhkan kerajaan, mereka juga ada matlamat sampingan yang lain yang tidak kurang pentingnya.
Bagi BN, selain ingin menang dan kekal mentadbir Johor, mereka setidak-tidaknya ingin mengekalkan kemenangan 40 kerusi sedia ada.
Dan jika BN mampu menang lebih daripada 40 kerusi, itu dikira pencapaian yang cukup cemerlang.
Tetapi jika kurang daripada 40 kerusi, walaupun masih berjaya membentuk kerajaan, ia adalah suatu kekalahan moral bagi BN
Dan dengan kemenangan kurang 40 kerusi itu, BN tidaklah boleh lagi “angkat muka” seperti sebelum ini.
Bagi PH, walaupun mereka juga ingin menang dan menubuhkan kerajaan negeri dengan meletakkan Dr Maszlee Malek sebagai calon “Menteri Besar Bayangan”, tetapi jika mereka dapat mengurangkan majoriti BN kurang daripada 40 kerusi, ia juga dianggap suatu pencapaian membanggakan.
Apa lagi jika BN tidak berjaya menubuhkan kerajaan negeri dan akhirnya terpaksa mendapatkan sokongan PH, ia tambah menggembirakan lagi buat PH, khususnya DAP.
Ini kerana Onn Hafiz Ghazi, sebelum ini bertegas tidak mahu lagi memegang jawatan Menteri Besar Johor jika BN Johor terpaksa berkongsi kuasa dengan DAP.
Dalam hal berkaitan, selain DAP difahamkan sedang berusaha sedaya upaya mengerah pengundi Cina keluar mengundi, Perdana Menteri sendiri nampaknya amat rajin turun ke Johor.
Selepas datang ke Muar pada Isnin lalu untuk majlis pengumuman calon, petang ini beliau datang ke Segamat pula.
Selepas ini juga pastinya beberapa kali Anwar akan turun ke Johor.
Berikutan PH ditolak BN untuk bergandingan dalam PRN Johor, disertai dengan kenyataan Onn Hafiz enggan duduk semeja dengan DAP dalam kerajaan negeri, sedangkan kedua-dua parti bekerjasama di peringkat pusat, PH nampaknya ada misi tersendiri iaitu untuk “mengajar” BN dalam pilihan raya kali ini.
Jika tidak mampu mengalahkan BN, melihat parti itu menang kurang daripada 40 kerusi sudah dikira cukup membanggakan buat PH.
Sebelum ini beberapa pimpinan PH cuba meyakinkan bahawa jika kerjasama BN dan PH dapat dijalinkan dalam PRN Johor, kemenangan lebih selesa untuk diperolehi.
Namun, BN Johor menolak mentah-mentah cadangan tersebutZ
Jadi sekarang ini, mampukah BN menang sekurang-kurangnya 40 kerusi?
Apakah jika asakan PH makin kuat, BN akhirnya terpaksa mendapatkan bantuan PAS dan Wawasan bagi memastikan sasaran 40 kerusi tidak kecundang? - ShahbudinHusin 24Jun2016.

No comments: