
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sambutan Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Butterworth pada 20 Jun 2026.
BUTTERWORTH, 20 Jun – Organisasi media perlu terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh tatakelola dan membanteras rasuah, bukannya menjadi saluran yang memperdalam polarisasi serta perpecahan dalam masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan media yang melaporkan penyelewengan dan rasuah secara objektif amat penting bagi memastikan agenda reformasi serta usaha membersihkan sistem pentadbiran negara dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Anwar berkata, kebebasan media yang dinikmati hari ini perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan tidak disalahgunakan untuk menyebarkan naratif yang boleh memecah-belahkan rakyat.

“Dahulu, media kita terkekang dengan pelbagai akta seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta ISA. Sekarang, ruang itu sudah lebih luas. Namun, janganlah ruang luas ini diisi dengan naratif yang boleh memecah-belahkan rakyat.
“Kita lihat bagaimana algoritma media sosial sekarang cenderung untuk mengukuhkan bias kita. Jika kita suka benci sesuatu kaum, media sosial akan terus menyuap kita dengan bahan yang menambah kebencian tersebut,” katanya ketika berucap pada Sambutan Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan mengenai pengaruh algoritma media sosial yang dilihat semakin mengukuhkan kecenderungan dan prasangka pengguna terhadap sesuatu isu atau kelompok masyarakat.
Anwar berkata, fenomena itu merupakan sebahagian daripada cabaran era digital yang disifatkannya sebagai ‘Post-Normal Times’, iaitu keadaan dunia yang berubah dengan pantas, penuh percanggahan dan ketidakpastian.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengamal media supaya terus mempertahankan prinsip kewartawanan yang berasaskan fakta, integriti dan tanggungjawab sosial dalam mendepani cabaran landskap media yang semakin kompleks.

No comments:
Post a Comment