BN Johor sombong, AMANAH ajak rakyat tolak politik khianati perpaduan

 







Umno-Barisan Nasional (BN) Johor bersikap sombong kerana menganggap mereka terlalu kuat selain menyangka kemenangan yang pernah diraih sebelum ini sebagai sesuatu yang mutlak.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, pendekatan politik sedemikian bukan sahaja memperlihatkan ketiadaan semangat setiakawan dalam kalangan komponen BN di Johor.

Malah, beliau berpendapat situasi sama turut dapat dilihat dengan lebih jelas paa Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan menolak budaya politik yang hanya berasaskan perebutan kedudukan dan kuasa sehingga sanggup mengkhianati semangat perpaduan serta mengabaikan kepentingan negara demi agenda kelompok tertentu.

“Kita mahu rakyat menyokong pihak yang mengutamakan perpaduan, kestabilan politik serta meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.

“Golongan yang berpolitik semata-mata mahu mendapatkan kuasa hingga sanggup mengkhianati perpaduan perlu diketepikan oleh rakyat,” katanya menerusi Jom Channel bertajuk, “Johor BN Punya?”.

Beliau turut berpandangan bahawa BN kini berada dalam keadaan dilema kerana naratif yang sering dibawa kononnya masyarakat Melayu sedang terancam sebenarnya memakan diri sendiri.

Meludah ke langit

Menurut Khalid, BN tidak mempunyai asas kukuh untuk memainkan sentimen sedemikian memandangkan parti itu sendiri sudah lama menjadi kerajaan.

Justeru, hujahnya, jika benar orang Melayu terjejas, ia seolah-olah menggambarkan kegagalan mereka sendiri mentadbir negara.

“Kalau mereka kata Melayu terjejas, BN ibarat meludah ke langit kerana mereka sendiri kerajaan, dahulu pun mereka kerajaan.

“Kalau mereka gagal, kenapa rakyat perlu pilih mereka semula (dalam PRN Johor kali ini)?” bidas bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Khalid turut menjangkakan kempen BN dalam pilihan raya bulan depan akan terus bergantung kepada politik kebencian serta sentimen seperti dakwaan Melayu terancam kerana gabungan itu dilihat tidak mempunyai tawaran atau idea baharu untuk diketengahkan kepada rakyat.

Sebaliknya, tegas beliau, Pakatan Harapan (PH) tampil dengan naratif lebih positif berasaskan rekod pencapaian kerajaan serta komitmen berterusan untuk membawa negara ke tahap yang lebih baik.

“Bagi PH, kita membawa naratif yang lebih positif. Kita sudah capai kejayaan, kita sudah capai apa yang ingin dicapai dan kita akan terus berusaha untuk capai sesuatu yang lebih baik demi rakyat dan negara,” kata Khalid lagi.



No comments: