Johor nak tarik peruntukan pertanian atau tidak, tanya Mat Sabu


 


Datuk Seri Mohamad Sabu ‘bertanyakan’ kepada hampir 10,000 perwakilan Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Johor Bahru hari ini sama ada peruntukan pertanian untuk kerajaan negeri Johor mahu ditarik balik atau tidak.

“Di Johor ini, untuk RMK13, kita peruntukkan lebih kurang RM201 juta.

“Nak tarik balik peruntukan atau tidak? Tidak!

“Rakyat Johor rakyat Malaysia!” tegas beliau, disambut tepukan gemuruh delegasi yang memenuhi Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di Johor Bahru.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu memberi jaminan bahawa Johor akan terus menerima peruntukan besar dari kerajaan Persekutuan.

Malah, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, beliau sendiri akan memohon tambahan dana bagi memperkukuh sektor pertanian negeri itu.

Jelasnya, bagi tahun 2026 sahaja, kementerian diterajui beliau memperuntukkan sebanyak RM25 juta untuk pelbagai projek pertanian di Johor.

“Saya sebagai Menteri langsung tiada niat untuk kurangkan peruntukan, bahkan kita akan cuba mohon kepada Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri,” katanya.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata, jika permohonan itu tidak diluluskan Menteri Kewangan, beliau akan terus mengadu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau kita mohon pada Menteri Kewangan, beliau tidak mahu lulus, kita mengadu kepada Perdana Menteri,” katanya mencetuskan gelak ketawa hadirin.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH turut melahirkan keyakinan bahawa dengan sokongan berterusan kerajaan Persekutuan dan kepimpinan PH, gabungan itu mampu memerintah Johor dengan lebih selesa selepas pilihan raya negeri akan datang.

“Penambahan peruntukan di Johor supaya PH akan memerintah dengan selesa selepas kita menang dalam PRN Johor nanti!” tegas Mohamad lagi.


No comments: