
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama rakyat Johor di Dewan Terbuka PPR Taman Desa Mutiara, Tebrau pada 17 Mei 2026.
JOHOR BAHRU, 17 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, Kerajaan MADANI akan membincangkan peningkatan had kuota petrol bersubsidi BUDI95 bagi penghantar makanan p-hailing kepada 250 liter pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Selasa ini.
Menurut Perdana Menteri, perbincangan berkenaan akan dilakukan bagi menimbang rayuan golongan pekerja berkenaan serta meringankan beban harian mereka.
“Mesyuarat hari Selasa ini, saya akan bawa dalam mesyuarat, bincang. Sebab dia (pemandu p-hailing) dapat 200 liter sama macam kitalah, RON95 200 sahaja liter.

“Jadi saya kata, nanti saya peringatkan saudara Fahmi (Datuk Fahmi Fadzil), kita cari jalan kalau sekurang-kurangnya naik 50 (liter), (menjadi) 250 (liter),” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan perkara itu ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka PPR Taman Desa Mutiara, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, cadangan itu tercetus hasil inisiatif beliau sendiri yang turun padang untuk bertanya dan mendengar keluhan golongan penghantar makanan mengenai kuota sedia ada.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengumumkan kelulusan peruntukan segera RM1 juta bagi membiayai kerja baik pulih mendesak di kawasan perumahan berkenaan.
“Saya luluskan RM1 juta dulu… sekurang-kurangnya apa yang mendesak dulu. Kalau yang pecah kah, pintu kah apa sebagainya, kita baik pulih,” katanya.
Pada majlis sama, Perdana Menteri mengarahkan pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyegerakan bantuan membaiki kemudahan tandas rosak di Sekolah Bukit Mutiara selepas perkara itu dibangkitkan warga penduduk.
No comments:
Post a Comment