Saya hadir hari ini ke Konvensyen Pakatan Harapan bersama rombongan Keadilan Indera Mahkota. Sebagai Setiausaha Keadilan Negeri yang berada dalam Grup Mobilisasi PH untuk Konvensyen ini, saya boleh sahkan bahawa sasaran kehadiran kami adalah di sekitar 3,000 orang, tetapi hari kejadian iaitu hari ini menyaksikan hampir 10,000 orang yang datang. Ini adalah pesta "tunjuk rasa" dalam kehangatan pengumuman Umno Negeri Johor yang akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN dalam Pilihanraya Negeri yang akan datang.
Itulah... jangan suka sangat bermain dengan teka-teki, kalau nak berkawan katakan nak berkawan, kalau nak berlawan katakan sahaja nak berlawan, jangan tinggalkan kenyataan dalam kesamaran.
Asah-asah cincin suasa
Untuk majlis membelah mulut
Resah-resah hatiku rasa
Kalau tak luka mengapa berparut
Asah-asah keris kenangan
Negeri ku amuk rakyat ku tetak
Basah-basah ku rasa tangan
Tapi kenapa air tak nampak
Dari kami terus dihantui ketidaktentuan, baiklah kami membuat keputusan, anggota parti kami juga sudah letih merasa dipermainkan. Kami alu-alukan jika Umno Johor mahu bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, tetapi kami juga akan berbuat perkara yang sama, bertanding di 56 kerusi DUN tersebut. Kami juga tiada masalah jika MB Umno Johor mahu membubarkan DUN dalam masa terdekat ini, tetapi MB kami pun akan berbuat perkara yang sama untuk DUN Negeri Sembilan, kami tambah dengan janji akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan ini.
Seperti yang dibentangkan tadi, kerajaan persekutuan telah membawa pelbagai projek pembangunan berskala besar ke Johor yang memungkinkan lonjakan ekonomi yang besar juga akan berlaku di Johor, dan semua projek ini bukan dibawa oleh kementerian-kementerian yang diterajui oleh Umno atau BN, tetapi semuanya dari kementerian-kementerian yang Menterinya daripada PH! Ini termasuklah projek ETS, RTS, Pelabuhan Tanjung Pelepas (extended) dan CIQ.
Kalau ini semua belum memuaskan hati Umno, belum mampu membuktikan keikhlasan kami dalam bekerjasama untuk sebuah kerajaan, maka marilah lakukannya, perlawanan itu! Umno baru-baru ini sudah dengan begitu bangga mahu mewar-warkan bahawa sejarah mereka bermula dari dalam istana, maaflah, kami tidak pernah merasa ia satu kelebihan. Perjuangan kami ini lahir dari atas jalanraya. Kami tiada masalah untuk kotor dan lecah, menyinsing lengan kalau kami perlu berlawan semula.
Dalam pada kami berkonvensyen ini, Rafizi Ramli mengambil tarikh yang sama untuk mengumumkan hala tuju politiknya. Adakah ia satu kejutan bagi saya? Tidak, kerana tanpa pengumuman itu pun, selama ini segala pandangan, pergerakan, percakapan dan pendiriannya sudah jelas menunjukkan hala tujunya yang bertentangan, hala tuju yang sudah tidak bersama kami. Sejak itu pun saya sudah tidak menganggap dia sebahagian dari parti ini.
Kepada penyokong-penyokong Rafizi, saya tidak mahu komen banyak, tetapi saya ingin nyatakan ini; Yang pertama, Rafizi ini merasa dia sentiasa paling betul dan bijak, yang kedua, khusus dalam parti ini, dia merasa tiada orang yang lebih betul dan bijak dari dia. Yang ketiga, yang paling penting, Rafizi ini tidak boleh menerima perbezaan pendapat, orang yang berbeza pendapat dengannya akan dianggap musuh, kemuncaknya bila dia berbeza pendapat dengan Anwar Ibrahim, maka Anwar Ibrahim dianggap sebagai musuhnya. Cukuplah setakat itu komen saya tentangnya, satu hari nanti saya percaya anda akan kembali kepada saya dan bertanya tentangnya.
Pulang dari Konvensyen hari ini (saya di dalam bas sekarang), saya mahu tutup dengan titipan pantun, kepada Umno dan penyokong Rafizi juga, kalaulah di hadapan sudah terbentang jalan mati:
Hari ini meramu kata
Hari esok membelah hati
Hari ini bertemu mata
Hari esok rindulah kami
No comments:
Post a Comment