15 December 2025
Semacam memberi amaran kepada MIC serta MCA, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana parti yang keluar daripada gabungan itu tidak akan diterima semula jika mereka ingin kembali suatu hari nanti.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan mereka agar jangan menyesal jika memilih keluar meninggalkan BN.
“Jangan buat keputusan hanya kerana ‘mabuk kuasa’ dan tanpa mengira kita adalah kawan lebih daripada 70 tahun.
“Saya bimbang ada pihak yang akhirnya berada dalam keadaan gantung tidak bertali,” katanya lagi.
Sebagaimana dilaporkan sebelum ini, MIC sudah pun menulis surat kepada PN menyatakan hasrat menyertai gabungan itu.
Ini menggambarkan MIC sudah memulakan langkah keluar BN dan mahu bersama PN.
MCA pula memberi amaran akan meninggalkan BN jika gabungan itu bekerjasama dengan DAP pada PRU16 akan datang.
Ini memperlihatkan MCA juga akan meninggalkan BN, tapi masih mahu menunggu dulu sehingga PRU16, walaupun pada hakikatnya sudah boleh dijangka, DAP adalah kekasih baru yang lebih menarik hati berbanding MCA bagi BN.
Bagi UMNO dan BN, dulu No Anwar No DAP, tapi sekarang, seDAP bersama DAP.
Pun begitu, Zahid Hamidi sebenarnya tidak perlu memberi apa-apa amaran atau peringatan kepada MIC dan juga MCA.
Parti yang ingin keluar daripada BN sudah tentu telah memikir dengan mendalam sebelum membuat keputusan demikian.
Setelah tiga tahun sejak berkawan dengan PH/DAP, MIC dan MCA sudah tentu telah menyaksi dan merasakan bagaimana mereka semakin tidak dipedulikan dalam gabungan itu.
Seperti isteri yang tidak dipeduli dan diabaikan selama bertahun-tahun lamanya, pilihan yang terbaik demi kehidupan yang lebih baik ialah memohon perpisahan.
Dalam hal berkaitan, bila MIC khususnya telah membuat pilihan untuk berpisah, berpatah balik tiada lagi dalam kamus pilihan.
Begitu juga jika MCA turut keluar BN nanti, pilihan keluar daripada rumah BN dan masuk ke rumah PN adalah pertimbangan yang munasabah lantaran melihat kepada kedudukan semasa kerajaan yang ada.
Selepas keluar, tidak mungkin mereka ingin kembali semula kerana BN pun selepas itu akan menjadi gabungan yang semakin kecil.
Kiranya menjadi kenyataan MIC dan MCA keluar BN, gabungan itu hanya tinggal UMNO dan PBRS saja lagi.
Dalam keadaan sebegitu, rasa-rasanya tidak mungkin BN mampu beroleh keputusan yang lebih baik berbanding pencapaian mereka pada PRU15 lalu.
Pendek kata, Zahid Hamdii jangan risau memikirkan kemungkinan MIC dan MCA menyesal dan mahu kembali semula kepada BN setelah keluar nanti.
Takut nanti, selepas keputusan PRU16 akan datang, BN pula yang datang mencari PN untuk memastikan mereka kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan. – ShahbudinHusin 15Disember2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/12/zahid-hamidi-jangan-bimbang-parti-yang-keluar-bn-sukar-untuk-masuk-semula/
No comments:
Post a Comment