Semua platform pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lebih 8 juta pengguna di Malaysia akan dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) tanpa perlu melalui proses pendaftaran biasa (melalui Peruntukan Deeming).
(ASP(C) – kerangka pelesenan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, langkah ini untuk memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.
Pendekatan ini juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
“Inisiatif ini bagi memastikan semua platform terlibat untuk memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga,” maklum SKMM dalam kenyataan.
Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini dilaksanakan terhadap penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan ini hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
Penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global mereka seperti biasa. Pendekatan ini sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.
SKMM akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian terutamanya kanak-kanak serta keluarga demi manfaat semua pengguna di Malaysia.
Maklumat terperinci tentang pelaksanaan Peruntukan Deeming boleh diperoleh melalui laman sesawang MCMC di. https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf2/FAQ_Pelaksanaan-Peruntukan-Deeming_15-Disember-2025.pdf.
No comments:
Post a Comment