Surat penamatan kontrak terhadap Tuan Guru Syeikh Wazir Al Makki serta surat pertukaran melibatkan Tuan Guru Syeikh Aziz Che Man didakwa telah ditarik balik susulan tekanan kuat daripada institusi pondok dan masyarakat Islam di Kelantan.
Aktivis, Syam Ghaz, dalam satu catatan menyatakan keputusan itu dibuat selepas bantahan meluas khususnya daripada jaringan pondok di seluruh Kelantan yang mempertahankan peranan dan kewibawaan dua tokoh berkenaan.

Untuk rekod, Syeikh Wazir Al Makki merupakan ulama besar Kelantan yang juga Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan serta Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan.
Sementara itu, Tuan Guru Syeikh Aziz Che Man yang merupakan mudir atau pengetua Pondok Moden Kandis, Bachok, Kelantan dikenali kerana pendekatan sederhana dan terbuka dalam pentadbiran pondok, serta hubungan baik dengan pelbagai pihak demi pembangunan institusi dan kebajikan pelajar.
Menurut Syam, kedua-dua tokoh berkenaan sebelum ini didakwa dikenakan tindakan penamatan kontrak dan pertukaran oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) selepas mereka menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Pondok Moden Kandis, Bachok.
Lawatan PMX pada Ogos lalu turut menyaksikan pengumuman peruntukan RM2.3 juta bagi kerja-kerja naik taraf kemudahan pondok termasuk pembaikan masjid, pembinaan rumah guru, pondok pelajar serta kemudahan asas lain.
Tiada agenda politik
Syam menegaskan, lawatan Perdana Menteri itu tidak mempunyai sebarang agenda politik malah turut dihadiri Menteri Besar Kelantan dan Exco Pendidikan YIK.

“Tiada agenda politik pun PMX dalam pondok.
“Yang berpolitik sekarang adalah Pas, yang tergugat sebab PMX lebih terbuka dengan semua Tuan Guru pondok seluruh Kelantan dan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Syam memaklumkan para pelajar Pondok Moden Kandis berasa amat sedih dengan perkembangan tersebut, lebih-lebih lagi ketika projek pembangunan hasil peruntukan kerajaan Persekutuan hampir siap dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar mempertahankan institusi pondok daripada diperalatkan untuk kepentingan politik sempit serta terus menyokong usaha memperkukuh pendidikan Islam di Kelantan.

No comments:
Post a Comment