PASIR MAS, 19 Dis - Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengkritik Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa beliau seolah-olah mendahului proses keadilan apabila mengeluarkan kenyataan yang melabelkan ahli perniagaan, Albert Tei sebagai bersalah sebelum sebarang keputusan mahkamah dibuat.
“Jika begitu, bolehkah kita juga katakan bahawa bekas setiausaha politiknya sebagai ‘penerima rasuah tegar’ sedangkan dia baru sahaja didakwa di mahkamah?,” soal beliau melalui kenyataan di laman Facebook.
Beliau menggesa Anwar menjawab dakwaan berkaitan penglibatannya dalam kes berkenaan dan mempersoalkan kesediaan Perdana Menteri untuk mempertahankan kenyataannya di mahkamah.
“Saya ingin menegaskan bahawa sehingga hari ini, Anwar Ibrahim tidak pernah menafikan penglibatannya menurut dakwaan di dalam video Sofia Rini Buyong yang tular di media sosial. Tanpa penafian secara rasmi daripada Anwar Ibrahim, bermakna apa yang dikatakan oleh Sofia Rini Buyong adalah benar,” tambah beliau.
Beliau mendakwa Anwar sendiri yang mewujudkan kekeliruan masyarakat dalam menganggap perasuah sebagai pemberi maklumat atau “hero” kerana telah memutarbelitkan fakta.
#BeritaKS

No comments:
Post a Comment