
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung menerusi panggilan telefon dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada 20 Disember 2025. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 21 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang berlangsung esok dijangka akan menjadi wadah konstruktif untuk Kemboja dan Thailand berunding secara terbuka dalam menyelesaikan konflik sempadan dua negara.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri, menjelaskan, perbincangan itu juga akan menyelesaikan perbezaan secara aman sekali gus mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan.
“Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan berlangsung esok adalah wadah sesuai dan konstruktif untuk membolehkan kedua-dua negara berunding secara terbuka, selesaikan perbezaan secara aman, serta mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan,” katanya.
Anwar mengesahkan beliau turut berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul bagi bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju terbaik ke arah meredakan ketegangan yang timbul antara kedua-dua negara.
“Saya menegaskan pentingnya untuk Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan dan saling menghormati demi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) dan China juga menggerakkan pasukan perundingan bagi meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Krisis antara Thailand dan Kemboja tercetus disebabkan kedua-dua negara mempertikaikan sebahagian sempadan darat sepanjang 817 kilometer itu selama lebih seabad, yang mana perebutan ke atas kuil purba kadang-kadang mencetuskan pertempuran bersenjata, termasuk insiden berbalas tembakan artileri selama seminggu yang meragut banyak nyawa pada 2011.
Ketegangan kembali memuncak pada Mei lalu selepas seorang tentera Kemboja terbunuh dalam satu pertempuran kecil, mencetuskan peningkatan ketara kehadiran tentera dan pertempuran baharu yang menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
No comments:
Post a Comment