Presiden China Xi Jinping Diberi Sambutan Negara Di Istana Negara

 

Presiden China Xi Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula semalam atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 16 April 2025. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Apr – Presiden China Xi Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula semalam atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim berkenan menyambut ketibaan Xi pada 10.30 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.

Istiadat sambutan di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Presiden China Xi Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula semalam atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 16 April 2025. Foto Bernama

Presiden China itu kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Perdana Sungai Besi, diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.

Lawatan oleh Xi adalah sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Presiden China itu pada tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.


No comments: