Seorang pemerhati politik tidak menolak kemungkinan wujud ‘deep state’ dalam kalangan pegawai agensi agama sehinggakan individu yang terlibat dalam politik boleh memiliki tauliah mengajar agama.
Jamzuri Ardani berkata, apabila timbul isu calon Perikatan Nasional (PN) di Ayer Kuning memperoleh tauliah mengajar, semua orang pun sudah tahu apa cerita di sebaliknya.
“Bila timbul isu bagaimana calon PN Ayer Kuning dapat tauliah mengajar di masjid sedangkan dia pegang jawatan tinggi dalam parti politik, kita pun sebenarnya tahu apa cerita disebaliknya.
“Sebab itu perlu dibuat lapuran supaya perkara ini disiasat. Memang ada ‘deep state’ dalam kalangan beberapa pegawai agensi agama.
“Mereka ini perlu dibersihkan dulu, barulah arahan Sultan dapat dilaksanakan dengan adil dan berkesan,” ulasnya di Facebook hari ini.
Berkongsi pengalamannya, pada 2022 beliau pernah bertugas di Sungai Besar dan singgah di sebuah masjid di pekan itu.
Beliau perasan antara senarai penceramah yang tertera di skrin dinding masjid itu adalah pemimpin Pas setempat yang memegang jawatan utama di peringkat kawasan.
“Siap gambar pun ada, memanglah saya kenal. Itu tahun 2022. Sekarang tak tahulah.
“Saya andaikan mestilah dia ada tauliah mengajar jika tidak mana mungkin dia tersenarai mengajar di masjid itu.
“Soalnya, arahan Sultan agar tiada pemimpin politik diberi tauliah nengajar sudah pun berkuat kuasa masa itu. Kenapa ada pegawai agensi agama yang ingkar?
“Padahal Ustaz Hasanuddin, mantan Ahli Parlimen Hulu Langat, yang punya kelayakan akademik dan pengalaman dakwah yang luas pun terpaksa menyerahkan semula tauliahnya bagi menghormati arahan Sultan tersebut,” ujarnya lagi.
Setakat ini Pemuda AMANAH Perak sudah pun membuat laporan polis terhadap calon PN, Abdul Muhaimin Malek atas dakwaan menipu untuk mendapatkan tauliah.
Sehingga kini juga belum ada penjelasan dari pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengenai isu tauliah terbabit.
No comments:
Post a Comment