TERIMA KASIH PERDANA MENTERI DS ANWAR IBRAHIM UMUMKAN BERITA BAIK YG DIU...


Di majlis bersama ribuan mahasiswa di UiTM Shah Alam petang tadi saya memberi pencerahan kepada keperluan untuk memperkuat kesatuan kenegaraan yang tidak boleh sama sekali diremehkan. Saya hadir dalam konteks memberi penekanan mengenai inisiatif Kerajaan MADANI iaitu FlySiswa, yakni sebuah program yang bertujuan memsubsidi sebahagian kos penerbangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan supaya kosnya tidak begitu membebankan.
Di ruang majlis yang sama, saya bicarakan bahawa tanggungjawab menegakkan kebenaran atas dasar fakta menjadi begitu terpenting yang mesti dijadikan budaya oleh anak-anak mahasiswa. Dalam menyikapi pelbagai isu semasa yang dekat dengan kita, usah diperangkap dengan naratif yang mengarah kepada kehancuran dan kebinasaan sistem tata masyarakat.
Sebagai ‘conscience of the majority’ atau jurubicara rakyat, anak-anak muda terutamanya di kalangan mahasiswa mesti lebih tangkas menegak fakta dan tanam serta benam naratif perkauman yang merosakkan. Tidak terhad kepada itu, wujud segelintir gerombolan yang sengaja menanam kebencian atas dasar wilayah, kenegerian dan sebagainya sebagai memaju kepentingan yang tempang. Mari bersama kita
pupuk budaya kecintaan antara masyarakat, perkukuh kemajmukan sebagai tiang kekuatan, dan semai rasa kasih kepada yang miskin dan melarat.

Di acara tersebut, selain turut mengumumkan penerusan inisiatif ini, saya juga mengumumkan kenaikan bantuan subsidi ini daripada RM300 kepada RM400 mulai bermula 1 Januari 2025. Semoga anak-anak mahasiswa dapat manfaatkannya untuk keluarga dan yang tersayang sambil terus memusatkan tumpuan kepada penguasaan bidang dan disiplin yang diceburi.