PUTRAJAYA, 13 Dis – Penubuhan serta laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu kedaulatan Batu Puteh bukan bertujuan membalas dendam terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya Perdana Menteri berkata, tidak seharusnya naratif dendam dimainkan kerana Pasukan Petugas Khas (PPK) yang diwujudkan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan perkara itu sehingga membawa kepada RCI ditubuhkan ketika pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Tidak timbul pun (untuk balas dendam), pasukan (petugas) khas itu dibuat sebelum saya pun, itu masa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Menterinya (ketika itu adalah) Datuk Seri Hamzah (Zainudin), Takiyudin (Hassan). (PPK) ada buat (kajian), dan ‘finding‘ (penemuan dalam laporan PPK) lebih teruk lagi. Jadi tak usah main (naratif dendam),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum SMK Agama Putrajaya di sini, hari ini.
Tegasnya lagi, isu berkenaan sememangnya tidak boleh diambil ringan dan ia merupakan pendirian jelas negara.
Mengulas mengenai tindakan terhadap Tun Mahathir, Anwar berkata, beliau menjelaskan perkara itu sepenuhnya kepada Jabatan Peguam Negara.
“Ini soal wilayah mana boleh (ambil ringan). Ada ke negara yang izinkan begitu mudah serah (kedaulatan). Tak boleh, itu prinsip.
“Saya tak cadang apa-apa (tindakan Tun Mahathir) itu saya serah pada Jabatan Peguam Negara,” ujarnya lagi.
Baru-baru ini, pembangkang mendakwa laporan RCI bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh terdapat unsur dendam dan berniat jahat terhadap seseorang individu.
Sebelum itu, Tun Mahathir menjelaskan, keputusan berkait pengendalian pertikaian kedaulatan Batu Puteh dibuat secara kolektif kononnya bersama Jemaah Menteri, termasuk Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.