KEADILAN Akan Fail Rayuan Ke Mahkamah Persekutuan Kes Zuraida – Fuziah


Setiausaha Agung KEADILAN Dr Fuziah Salleh bersama Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mengimbau memori sambutan hari lahir Dr Wan Azizah pada 3 Disember lalu. Foto Facebook Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat berhubung keputusan Mahkamah Rayuan terhadap bekas Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin yang melanggar syarat bon.

Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh berkata, ia kerana KEADILAN kekal dengan pendirian bahawa jumlah ganti rugi sebanyak RM10 juta yang dikenakan terhadap wakil rakyatnya yang melanggar syarat bon adalah munasabah.

Katanya, implikasi pelanggaran syarat bon itu bukan setakat mengakibatkan pemimpin lompat parti malahan tindakan terbabit boleh menjatuhkan sebuah kerajaan yang telah dipilih rakyat.

Setiausaha Agung KEADILAN Fuziah Salleh berkata ini kerana parti kekal dengan pendirian bahawa jumlah ganti rugi sebanyak RM10 juta yang dikenakan terhadap wakil rakyatnya yang melanggar syarat bon adalah munasabah. Foto Facebook Fuziah Salleh

“Jumlah tersebut ialah nilai untuk menghalang pengkhianatan seseorang ahli Parlimen yang menang atas tiket KEADILAN dalam pilihan raya.

“Jadi KEADILAN akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu Mahkamah Rayuan Putrajaya mengarahkan Zuraida hanya perlu membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 berbanding RM10 juta, berhubung perlanggaran syarat bon parti itu yang mengikatnya kepada parti berkenaan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk See Mee Chun memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian daripada rayuan Zuraida, 66, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar RM10 juta.

Mengulas lanjut, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan, semua calon wakil rakyat KEADILAN menandatangani secara sukarela bon terbabit sewaktu mereka dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Maksudnya masa beliau (Zuraida) tanda tangan bon iaitu sebelum menerima watikah bertanding beliau dalam keadaan fikiran yang waras. Adakah waktu tersebut beliau hanya tanda tangan semata-mata kerana nak bertanding?

“Ini persoalan warga KEADILAN terhadapnya. Kalau Zuraida rasa jumlah ganti rugi tersebut terlalu tinggi ketika itu beliau sepatutnya tidak wajar tandatangan bon berkenaan,” ujarnya.