Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu wang berjumlah RM976,380 dimasukkan ke dalam akaun bank tiga syarikat menerusi lima transaksi, dua tahun lepas.
Penolong Pengurus Ambank Cawangan Manjalara Norsuhana Yusof, 46, mengesahkan terdapat transaksi kemasukan wang masing-masing RM400,000 ke dalam akaun Ambank Islamic atas syarikat Jendela Timur Consultant pada 2 Sept dan syarikat Fendi Dilif Resources pada 5 Okt 2022.
"Pada 20 Okt 2022, terdapat transaksi kemasukan wang RM31,800 dan RM54,000 bagi syarikat Fokus Malaysia Studio melalui pindahan wang.
"Terdapat juga transaksi kemasukan wang berjumlah RM90,580 atas syarikat Fokus Malaysia pada 7 Nov 2022," katanya apabila dirujuk dengan penyata akaun Ambank Islamic bagi tiga syarikat berkenaan.
Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrom Idris pada perbicaraan kes bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berhadapan 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa.